Misi bantuan flotilla ke Gaza perlu diberi laluan selamat - Anwar

Misi bantuan flotilla ke Gaza perlu diberi laluan selamat – Anwar

ANWAR IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa agar kumpulan flotilla yang membawa bantuan kemanusiaan ke Gaza diberi laluan selamat tanpa sebarang halangan atau serangan daripada Israel.

Perdana Menteri berkata, misi flotilla tersebut tidak membawa senjata, sebaliknya membawa harapan serta bantuan kepada penduduk Gaza yang kini dikepung.

“Ini adalah misi kemanusiaan dan kita mesti melakukan segala yang termampu untuk memastikan ia sampai ke destinasi.

“Sekiranya ia dihalang dengan keganasan, bermakna kita mengkhianati amanah nurani kita untuk mempertahankan golongan lemah, melindungi yang tertindas serta memberi makanan kepada yang kelaparan,” katanya ketika menyampaikan Kenyataan Negara pada Sidang Kemuncak Luar Biasa Arab-Islam di Doha, Qatar semalam.

Konvoi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) kini sedang merentasi Laut Mediterranean dengan membawa bekalan makanan, ubat-ubatan serta mesej keamanan menuju ke pesisir Gaza.

Misi itu melibatkan lebih 50 buah kapal dengan penyertaan sukarelawan dari 44 negara yang bertekad menghantar bantuan kemanusiaan ke wilayah bergolak berkenaan.

Anwar turut menjadi penaung kepada Sumud Nusantara iaitu salah satu kumpulan yang menyertai misi berkenaan dengan menghimpunkan kapal serta sukarelawan dari seluruh dunia.

Malaysia diwakili Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia (CGM), Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman bersama penyanyi Zizi Kirana dan pelakon Ardell Aryana.

Pada 10 September lalu, kapal induk Family dilaporkan diserang dron ketika berlabuh di Sidi Bou Said, Tunisia, sebelum kapal Alma turut diserang pada malam Selasa. Bagaimanapun, tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam kedua-dua insiden tersebut.

Sabtu lalu, agensi berita Anadolu melaporkan, konvoi awal kapal GSF telah berlepas dari Pelabuhan Bizerte di Tunisia menuju ke Semenanjung Gaza. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN