Menantu Muhyiddin berada di negara Timur Tengah - SPRM

Menantu Muhyiddin berada di negara Asia Barat – SPRM

AZAM BAKI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan ahli perniagaan, Datuk Muhammad Adlan Berhan, yang juga menantu kepada bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dipercayai berada di negara Asia Barat.

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki berkata, pihaknya tidak dapat mendedahkan lokasi keberadaanya kerana negara itu tidak mempunyai perjanjian ekstradisi dengan Malaysia.

Azam turut mengakui mendengar khabar angin, keberadaan Muhammad Adlan di negara Timur Tengah itu.

“Usaha mengesan beliau masih dijalankan dan kita (SPRM) sudah membuat satu tindakan semalam dan berharap Kementerian Dalam Negeri akan bersetuju permohonan membatalkan pasportnya.

“Kita juga masih berbincang dengan negara terbabit bagaimana cara untuk membawanya pulang semula ke negara ini,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara SPRM dan Angkatan Koperasi Malaysia (ANGKASA), di Wisma Ungku A Aziz, di sini hari ini.

Media sebelum ini, melaporkan SPRM sedang mengesan dua lelaki tempatan bagi membantu siasatan kes penyelewengan projek pendaftaran, pengambilan dan penyimpanan biometrik pekerja asing bagi sebuah kementerian.

Mereka ialah Muhammad Adlan dan peguam, Mansoor Saat dengan kedua-duanya dikenal pasti sudah meninggalkan Malaysia, masing-masing pada 17 Mei dan 21 Mei 2023.

Pada Oktober 2023, bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain mengesahkan permohonan notis merah ke atas Muhammad Adlan dan Mansoor sudah diserahkan kepada Polis Antarabangsa (Interpol).

Tindakan menyenaraikan nama mereka di dalam notis merah itu dilakukan selepas dimohon SPRM untuk mengetahui keberadaan kedua-dua individu itu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN