JOHOR BAHRU: Seramai 1,143 graduan pelbagai bidang akan menerima skrol pada Majlis Konvokesyen Politeknik Ibrahim Sultan (PIS) Ke-30 di Dewan Tunku Laksamana Abdul Jalil, PIS pada hari ini dan esok.
Pengarah PIS, Ulaimi Yahya berkata, seramai 29 graduan menerima ijazah sarjana muda, 1,098 graduan menerima diploma dan 16 mendapat sijil kemahiran pada majlis konvokesyen tersebut.
Katanya, sidang pertama bermula pada pukul 10 pagi hingga 12 tengah hari, melibatkan 328 graduan Jabatan Rekabentuk dan Komunikasi Visual (JRKV) dan 141 graduan Jabatan Pelancongan dan Hospitaliti (JPH).
“Daripada jumlah itu, seramai 29 graduan menerima ijazah sarjana muda, 424 graduan menerima diploma, manakala 16 orang menerima sijil kemahiran.
“Sidang kedua pula berlangsung pada mulai pukul 3 hingga 5 petang hari ini, melibatkan seramai 330 graduan diploma daripada Jabatan Kejuruteraan Elektrik (JKE),” katanya kepada Utusan Malaysia.
Dalam pada itu, sidang ketiga berlangsung esok melibatkan 344 graduan diploma Jabatan Kejuruteraan Mekanikal (JKM).
Ulaimi berkata, majlis meraikan penerima Anugerah Graduan Cemerlang daripada setiap jabatan sebagai pengiktirafan terhadap kecemerlangan akademik, kokurikulum serta kepimpinan mahasiswa sepanjang tempoh pengajian.
Katanya, penganjuran konvokesyen kali ini bukan sahaja menandakan pencapaian penting graduan, malah menjadi komitmen PIS dalam melahirkan modal insan berkualiti, berkemahiran tinggi dan bersedia menyumbang pembangunan negara selaras agenda Malaysia Madani.
Sejak ditubuhkan pada 1998 hingga kini, PIS telah berjaya melahirkan seramai 38,679 graduan dalam pelbagai bidang pengajian.
Majlis perasmian konvokesyen kali ini akan disempurnakan oleh Ahli Majlis dan Pengerusi Pereka Industri Bertauliah Majlis Rekabentuk Malaysia, Prof. Emeritus Datuk Dr. Ahmad Zainuddin.-UTUSAN










