MAHB perlu reka bentuk semula punca bekalan elektrik di KLIA Terminal 2

MAHB perlu reka bentuk semula punca bekalan elektrik di KLIA Terminal 2

Ulat teksi
ANTHONY LOKE
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) diminta untuk mereka bentuk semula punca kuasa bekalan elektrik di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 2 supaya insiden gangguan elektrik tidak berulang lagi.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, perkara itu memastikan insiden sedemikian tidak berulang pada masa akan datang, perkara tersebut akan disusuli dengan tindakan selanjutnya. 

“Mereka telah hantar laporan kepada kita (mengenai) apa puncanya dan seperti yang saya katakan, mereka perlu ‘redesign’ punca kuasa itu (iaitu) punca bekalan elektrik untuk memastikan supaya ‘blackout’ seperti ini tidak berlaku lagi. 

Memuatkan artikel berkaitan…

“Itu akan disusuli dengan tindakan,” katanya menerusi sidang akhbar selepas melancarkan identiti korporat baharu Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) di sini hari ini. 

Media sebelum ini melaporkan, gangguan elektrik yang berlaku KLIA Terminal 2 pada 28 Ogos lalu disifatkan tidak boleh diterima sama sekali kerana menjejaskan imej negara. 

Kejadian tersebut berlaku ketika Anthony Loke menghadiri majlis pelancaran Tap, Travel and Discover anjuran gateway@klia2 di terminal berkenaan. 

Susulan itu, beliau mengarahkan MAHB dan gateway@klia2 menyediakan laporan penuh dalam tempoh 24 jam mengenai punca insiden berkenaan.

Menerusi sebuah video yang dimuat naik di laman Facebook pada 29 Ogos, Anthony Loke berkata, laporan MAHB mengenai insiden tersebut berpunca daripada sistem pendawaian terlampau panas dan menyebabkan kabel terbakar sehingga memerlukan tempoh 28 minit untuk kuasa elektrik dikembalikan sukar untuk diterima.

Dalam perkembangan lain, Anthony Loke berkata, pelantikan pasukan pengurusan baharu CAAM bagi jawatan timbalan ketua pegawai eksekutif tidak akan dilakukan secara tergesa-gesa bagi memastikan individu yang dipilih itu mempunyai kelayakan bersesuaian dengan keperluan sektor penerbangan negara.

“Kita sedang berbincang dengan pihak kerajaan untuk mencari orang yang sesuai dengan kelayakan yang diperlukan bagi menyertai CAAM. Proses ini akan dilakukan dari semasa ke semasa,” katanya. 

Ketika ini, CAAM diketuai oleh Datuk Kapten Norazman Mahmud sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) dan mempunyai dua timbalan iaitu Zainul Abidin Maslan (Operasi) dan Kapten Md Jani Md Dom (Regulators).

Terdahulu, sebuah portal melaporkan CAAM dijangka melantik seorang lagi timbalan ketua pegawai eksekutif untuk mengetuai unit baru yang ditubuhkan iaitu unit regulatori ekonomi, yang akan mengambil alih fungsi-fungsi yang sebelum ini dikendalikan oleh Mavcom. – UTUSAN 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×