Konsep wala’ dalam Pas lemah punca perpecahan dalaman – Rafizi

Konsep wala’ dalam Pas lemah punca perpecahan dalaman – Rafizi

MOHD. RAFIZI RAMLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Konsep wala’ dalam Pas dilihat masih tidak mencukupi dan perlu dipertingkatkan lagi jika parti itu berhasrat menjadi kerajaan Persekutuan.

Bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli berkata, masalah sebenar Pas ialah budaya kepatuhan membuta tuli yang akhirnya menimbulkan perpecahan dalaman.

“Presiden Pas sendiri pernah menyatakan ada anggota yang tidak taat sepenuhnya kepada pimpinan. Itu sudah cukup menunjukkan isu wala’ kini menjadi masalah dalam parti.

“Semakin kuat desakan untuk taat setia, semakin jelas wujud anggota yang gagal mematuhinya,” katanya menerusi podcast Yang Berhenti Menteri malam tadi.

Rafizi yang juga Ahli Parlimen Pandan berkata, budaya politik sebegitu bukanlah perkara baharu kerana Pas sendiri pernah berdepan perpecahan akibat kuasa ketika era pemerintahan lalu.

“Pas pernah berkuasa lama di Kelantan dari 1959 hingga 1978. Malah, antara 1974 hingga 1978, Pas berada dalam kerajaan Persekutuan.

“Ketika itu, Kelantan kaya dengan hasil balak dan sesiapa yang mahu hidup senang perlu bersama Pas, bukan UMNO. Namun, akhirnya pelbagai faksi muncul sehingga Menteri Besar Kelantan (Pas) ketika itu, Allahyarham Datuk Mohd. Nasir dijatuhkan. Akibatnya, Pas tewas pada 1978,” katanya.

Katanya lagi, corak yang sama berlaku apabila Pas menguasai Terengganu pada 1999 tetapi hanya bertahan bagi satu penggal sebelum tewas pada 2004.

“Antara perkara yang menjadi buah mulut rakyat ketika itu ialah gaya hidup mewah sesetengah exco. Rumahnya biasa tetapi kereta mewah berderet di hadapan kerana selain menjadi exco, mereka turut dilantik sebagai pengerusi pelbagai syarikat kerajaan negeri,” katanya.

Rafizi berpandangan, keadaan sama boleh berulang sekiranya Pas kembali berkuasa.

“Yang di bawah khususnya cybertrooper, sibuk berperang di media sosial, memaki-hamun lawan setiap hari. Tetapi akhirnya mereka hanya gigit jari melihat pemimpin di atas hidup mewah.

“Sebab itu saya kata, wala’ yang ada sekarang pun tidak cukup. Saya cadangkan mungkin lebih sesuai nama parti ditukar daripada Parti Islam Se-Malaysia kepada Parti Walak Se-Malaysia,” katanya.

Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, ahli Pas diminta tidak mempertikai keputusan dibuat kepemimpinan Pusat terutama dalam aspek memilih calon pilihan raya dan pelantikan individu ke jawatan utama.

Presidennya, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, masalah ketaatan atau wala’ masih menjadi masalah besar dalam Pas apabila ada ahli mempertikai setiap kali keputusan Pusat memilih individu tertentu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN