PETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjalinkan kerjasama pihak berkuasa United Kingdom berhubung siasatan aset bekas Perdan Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamed, keluarga dan sekutunya.
Kerjasama itu telah memeterai Perjanjian Bantuan Perundangan Bersama (Mutual Legal Assistance, MLA) melalui kerjasama dengan National Crime Agency (NCA) United Kingdom pada Disember 2024.
Menurut sumber, SPRM sebelum ini telah beberapa kali mengadakan perjumpaan dengan International Anti-Corruption Coordination Centre (IACCC), Unit di bawah National Crime Agency (NCA) yang berpusat di London berkaitan kes ini.
“SPRM kini sedang menunggu senarai aset rasmi daripada pihak berkuasa United Kingdom melibatkan negara Kanada, Switzerland, Jepun dan United Kingdom.
“Setelah maklumat lengkap diperoleh, SPRM akan memulakan proses perundangan bagi tindakan sitaan dan melucuthak aset yang dikenal pasti, sebagaimana yang telah dilakukan dalam kes melibatkan Tun Daim Zainuddin sebelum ini,” kata sumber itu.
Sumber memaklumkan, usaha untuk mengesan dan memulangkan aset yang dipercayai diselewengkan bukanlah perkara mudah dan memakan waktu lama kerana membabitkan instrumen perundangan antarabangsa serta kerjasama pelbagai pihak berkuasa luar negara.
“Namun siasatan akan diteruskan secara telus demi memastikan segala aset yang diperolehi secara haram dapat dipulangkan kepada negara,” kata sumber.
Katanya, SPRM juga telah memanggil dua anak kepada bekas Perdana Menteri itu untuk mengistiharkan aset-aset yang dimiliki di dalam dan luar negara.
“Siasatan dilakukan di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta 694) serta Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001),” katanya. – UTUSAN










