Kerja baik pulih IPG Kampus Gaya akan dipercepatkan-Anwar

Kerja baik pulih IPG Kampus Gaya akan dipercepatkan-Anwar

ANWAR IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Kerja-kerja membaik pulih kerosakan bangunan yang terjejas akibat tanah runtuh di Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Gaya, Sabah perlu dipercepatkan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, laporan lebih terperinci daripada Kementerian Pendidikan (KPM) juga perlu dikemukakan dengan kadar segera.

“Menteri Pendidikan (Fadhlina Sidek) telah mengemukakan laporan awal ke Jemaah Menteri pada Rabu lalu.

“Kita menunggu laporan akhir yang saya minta semuanya segera,” katanya kepada pemberita selepas meninjau lokasi tanah runtuh IPG Kampus Gaya, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Anwar berkata, beliau juga mahukan kerja-kerja membaik pulih dipercepatkan tanpa mengikut proses biasa.

“Kalau kita ikut proses biasa, mahu siapkan jalan (atau) kemudahan (akan ambil masa) terlalu lama.

“Jadi, saya tidak mahu ikut proses biasa kerosakan (bangunan akibat tanah runtuh) ini bukan proses biasa. Oleh itu, kita sudah minta supaya proses ini dipercepatkan,” katanya.

KPM dalam kenyataan pada Rabu lalu memaklumkan, kejadian tersebut menyebabkan kerosakan serius pada bahagian cerun serta beberapa blok bangunan yang kini telah ditutup.

Dalam pada itu, Anwar berkata perundingan secara lanjut berkenaan perkara terbabit akan dilakukan bersama kerajaan negeri selepas mendapat laporan penuh.

“Soal prasarana termasuk jalan dan IPG ini satu keutamaan. Kita tunggu laporan daripada (pihak) kejuruteraan sama ada boleh kekal bangunkan semula (bangunan terjejas) di sini.

“Atau pun kita akan runding dengan kerajaan negeri bagi mendapatkan satu kawasan baharu untuk dibangunkan (semula bangunan IPG Kampus Gaya) dalam tempoh segera,” katanya.

Bagaimanapun, Perdana Menteri berkata, anggaran kos belum dikemukakan kepada pihaknya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN