Keretapi Sarong 2025 diperluas ke Melaka

Keretapi Sarong 2025 diperluas ke Melaka

SEMPENA Hari Malaysia, Keretapi Sarong 2025 Edisi Ke-9 akan diperluan ke Melaka buat julung kali.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Edisi Kesembilan Keretapi Sarong 2025 (KS25) akan diperluas ke Melaka buat pertama kalinya bersempena Hari Malaysia.

Pengasas bersama penganjur acara, LOCCO, Shamsul Bahrin Zainuzzaman, berkata program tersebut akan berlangsung secara serentak pada 13 September di beberapa lokasi utama iaitu Kuala Lumpur, George Town, Ipoh, Kuantan, Sungai Petani, Pasir Mas dan Johor Bahru.

“Tahun ini, buat pertama kalinya Melaka juga akan menganjurkan acara ini. kami sangat gembira kerana ada komuniti tempatan yang mengambil inisiatif untuk menganjurkan Keretapi Sarong di sana,” katanya dalam kenyataan semalam.

Tema KS25 kali ini akan mengangkat tema ‘Serumpun’ dengan melangkaui sempadan geografi, bagi mengingatkan orang ramai bahawa perpaduan tidak terbatas pada lokasi.

“Kami memilih tema ‘Serumpun’ sejajar dengan Pengerusi ASEAN oleh Malaysia tahun ini. Jadi, kita mungkin akan melihat lebih ramai peserta memakai sarung dan pakaian tradisional dari negara-negara ASEAN.”

“Apa yang ingin kami sampaikan ialah perpaduan bermula dalam kalangan rakyat Malaysia, namun sebenarnya meluas hingga ke negara-negara ASEAN kerana kita merupakan sebahagian daripada Nusantara yang kaya dengan akar budaya yang sama,” katanya.

Beliau dalam masa yang sama berkata, pihaknya akan memperluaskan acara tersebut di negeri lain bersempena ulang tahun ke-10 penganjuran Keretapi Sarong.

Dalam perkembangan lain, Shamsul bahrin berkata, dijangka akan disertai hampir 20,000 rakyat Malaysia daripada pelbagai latar belakang yang akan bersarung dan menaiki tren serta bas dari 11 stesen permulaan di Lembah Klang, sebelum bertemu di destinasi pusat di Kuala Lumpur.

“Antara stesen terlibat ialah Subang Jaya, KL Sentral, Gombak, Mutiara Damansara, Sri Damansara Utama, Kinrara BK5, Kajang, Ampang dan Putrajaya Sentral.

“Para peserta akan berkumpul dalam sebuah flash mob kebudayaan bergerak, yang melambangkan kepelbagaian dan solidariti, sejajar dengan perkembangan program ini yang kini merangkumi komuniti di seluruh negara dan juga lokasi terpilih di luar negara,” ujarnya.

Tambah beliau, di peringkat antarabangsa, sambutan turut menggalakkan, dengan edisi Keretapi Sarong di Berlin (Jerman) dan Melbourne (Australia) diadakan pada 31 Ogos, disusuli London dan Sydney pada 13 September. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN