KUALA LUMPUR: Platform komuniti Locco menjalinkan kerjasama dengan Seasia dan Good News From Indonesia (GNFI) bagi mengetengahkan budaya Malaysia-Indonesia melalui penganjuran pelbagai program secara bersama.
Pengasas bersama Locco, Shamsul Bahrin Zainuzzaman berkata, jalinan kerjasama itu nanti mempromosi acara, kebudayaan, kesenian makanan dan tempat pelancongan menarik antara kedua-dua negara.
Selain itu katanya, kedua-dua pihak juga akan berkongsi pelbagai bahan berita menarik antara kedua-dua negara sebagai bahan rujukan rakyat terutama menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026
“Bagi memastikan kerjasama ini berjalan dengan lancar, semua pihak (Locco, Seasia dan GNFI) telah menandatangani satu Memoradum Persefahaman (MoU) sebagai satu usaha membina jambatan positif dan penghargaan budaya di seluruh ASEAN.
“Kerjasama ini akan menjadi salah satu platfrom untuk ke semua pihak mempromosikan aktiviti serta berita menarik antara kedua-dua negara. Malah kita juga yakin perkara ini akan tersebar ke negara-negara ASEAN lain,”katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambah Shamsul Bahrin, antara kerjasama terdekat yang akan digunakan termasuk untuk mempromosikan acara Keretapi Sarong pada 13 September depan yang akan diadakan di sini.
Jelasnya, beliau yakin penyertaan untuk acara Keretapi Sarong pada edisi kali ini bukan sahaja melibatkan rakyat negara ini, malah ia juga akan melibatkan rakyat Indonesia.
“Jika edisi sebelum ini kita berjaya mengumpul lebih 18,000 peserta, tetapi sasaran kita pada edisi kali ini adalah sekitar 40,000 orang (termasuk daripada negara luar khususnya Indonesia).
“Pihak Seasia dan GNFI juga telah bersedia mempromosikan program ini di Indonesia, jadi saya yakin, rakyat dari Indonesia juga akan menyertai program Keretapi Sarong pada 13 September depan,”ujarnya.
Sementara itu, Pengarah dan Pengasas Seasia dan GNFI, Akhyari Hananto berkata, kerjasama itu membuktikan bahawa berita positif dapat disebarkan dengan lebih pantas dan berkesan apabila suara merentas negara bergabung
“Malaysia dan Indonesia berkongsi akar budaya yang kaya, dan kami percaya kerjasama bersama Locco ini akan memperkukuh cerita dan berita positif yang mendekatkan hubungan antara rakyat kedua-dua negara,”katanya. – UTUSAN










