Kanak-kanak Gaza dijangkiti penyakit kulit

Kanak-kanak Gaza dijangkiti penyakit kulit

Sebahagian kanak-kanak dan keluarga di Gaza bergelut untuk mendapatkan bekalan air bersih yang sangat terhad.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Ramai kanak-kanak di Gaza dijangkiti penyakit kulit akibat kekurangan bekalan air bersih, selain tidak mempunyai pakaian mencukupi untuk ditukar dan berdepan kesukaran mandi serta membasuh pakaian.

Lazimnya, mereka hanya akan mandi sekali setiap 10 hari iaitu kira-kira tiga kali dalam tempoh sebulan.

Ini kerana bekalan makanan dan air bersih yang tidak konsisten menambah penderitaan penduduk yang perlu berdepan kekurangan sumber asas untuk kelangsungan hidup.

Rakyat Malaysia yang pernah tinggal di Gaza, Nurul Ain Haron, 39, berkata, ada ketikanya penduduk menerima bekalan, namun kebiasaannya tiada apa-apa pun yang diterima untuk mengalas perut.

Beliau yang kini berada di Ajman, Emiriah Arab Bersatu berkata, di Gaza, bekalan tidak pernah konsisten. Ada waktu penduduk menerima sedikit bantuan, tetapi sering terpaksa menunggu lama tanpa apa-apa bekalan.

“Bantuan yang sampai pula sangat terhad dan tidak mencukupi untuk menampung keperluan penduduk di sini, kerana jumlah yang diterima terlalu sedikit berbanding dengan bilangan keluarga yang memerlukan.

“Keadaan ini menyebabkan ramai yang terpaksa berkongsi dalam kadar yang amat minimum, sehingga tidak mampu menampung keperluan harian mereka,” katanya kepada Mingguan Malaysia.

Nurul Ain berkata, ayah mentuanya bersama keluarga kini tinggal dalam khemah yang sempit dan terpaksa berhimpit-himpit di Gaza.

Katanya, rakyat Palestin sentiasa berdoa berharap misi Global Sumud Flotilla (GSF) selamat tiba untuk menyalurkan bantuan, meskipun berdepan sekatan ketat Israel yang sering menghalang kemasukan kapal bantuan ke wilayah berkenaan.

“Saya mendoakan agar kapal misi flotila selamat tiba dan berjaya melaksanakan misi yang diamanahkan, serta kembali ke tanah air dengan selamat,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN