Israel umum Konsulat British tamat operasi di Baitulmuqaddis - Utusan Malaysia

Israel umum Konsulat British tamat operasi di Baitulmuqaddis

KONSULAT United Kingdom ditutup Israel di Baitulmuqaddis. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAITULMUQADDIS: Menteri Luar Israel, Gideon Saar berkata, konsulat United Kingdom (UK) di Baitulmuqaddis menamatkan operasinya pada Khamis tetapi tujuh diplomat dibenarkan kekal dalam kapasiti terhad.

Memuatkan artikel berkaitan…

Langkah itu dibuat selepas Israel mengarahkan penutupan konsulat berkenaan pada September sebagai tindakan balas selepas London mengetuai sekatan negara-negara Barat susulan keganasan yang dilakukan peneroka haram Yahudi terhadap rakyat Palestin di Tebing Barat yang diduduki.

“Konsulat British di Baitulmuqaddis menamatkan operasinya hari ini. Konsul jeneral dan 20 diplomat menamatkan tugasan mereka dan akan meninggalkan Israel,” kata Saar dalam satu kenyataan.

Bagaimanapun, beliau berkata  bahawa tujuh diplomat dengan skop aktiviti yang sangat terhad akan kekal.

Beliau berkata, langkah mengecilkan kehadiran Britain di Israel  dibuat selepas rundingan dengan kerajaan Britain bagi mengelakkan ketegangan antara kedua-dua negara daripada terus memuncak.

Kerajaan Britain berikrar untuk terus menyediakan perkhidmatan penting di Baitulmuqaddis, sambil berkata, bangunan konsulat jeneral itu akan kekal dibuka dan dikenali sebagai Misi UK, Baitulmuqaddis.

“Misi UK, Baitulmuqaddis adalah bebas, beroperasi dan akan terus menyediakan perkhidmatan penting serta menjalankan kerja kami dengan rakyat Palestin,” kata Menteri Luar Britain, Ed Miliband dalam satu kenyataan.

Miliband berkata, Britain tidak menerima bahawa kerajaan Israel mempunyai hak di sisi undang-undang untuk menguatkuasakan penutupan itu. – AFP

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini