ALOR SETAR: Ibu kepada remaja lelaki yang ditemukan meninggal dunia di tepi semak disyaki akibat dibunuh berharap hukuman setimpal dikenakan terhadap pelaku kejadian itu.
Menurut Azura Zor, 41, dia tidak menyangka anak sulungnya, Muhammad Haikal Mohd. Shahrilnizam, 19, yang gagal dihubungi sejak akhir bulan lalu ditemukan dalam keadaan tidak bernyawa.
“Sampai hati mereka buat anak saya macam itu, buang dia tepi jalan. Jika ada yang buat Haikal, saya harap pelaku ditangkap dan dikenakan hukuman setimpal,” katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini hari ini.
Terdahulu, akhbar melaporkan mayat seorang lelaki dipercayai warga tempatan berusia lingkungan 20-an ditemukan orang awam di tepi semak berhampiran Jalan Harvard Golf Club, kira-kira pukul 8 pagi ini.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hanyan Ramlan berkata, pemeriksaan awal mendapati terdapat kesan kecederaan pada bahagian muka dan kepala mangsa.
Sementara itu, Azura berkata, polis datang ke rumahnya dan menunjukkan gambar mayat untuk tujuan pengecaman dan dimaklumkan terdapat kesan kecederaan pada bahagian kepala Muhammad Haikal.
“Namun kami tidak tahu bagaimana anak mengalami kecederaan tersebut. Saya harap polis dapat siasat kejadian ini secara terperinci,” ujarnya.
Tambahnya, dia terputus khabar berita dengan arwah sejak akhir bulan lalu dan tidak mengetahui mengapa anaknya itu gagal dihubungi.
“Kali terakhir jumpa bulan lepas, kami memang tak ada apa-apa masalah. Saya memang tak tahu sebab apa dia menghilangkan diri.
“Sebelum ini di rumah, dia okay sahaja. Dia suka bergurau dengan adik-adiknya. Saya memang tak tahu apa yang berlaku sampai jadi macam ini,” jelasnya.
Bagaimanapun, katanya, suaminya pernah menerima WhatsApp daripada seseorang yang meminta wang sebanyak RM200, namun dia tidak mengetahui tujuan permintaan tersebut. – UTUSAN











