Lelaki belasah isteri direman seminggu

Lelaki belasah isteri direman seminggu

ANGGOTA polis membawa seorang lelaki bagi mendapatkan perintah reman berkaitan kes pukul isteri sehingga mendatangkan kecederaan parah di Mahkamah Majistret Sungai Petani, hari ini. - UTUSAN/ SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI PETANI: Seorang lelaki yang dipercayai membelasah isterinya hingga keguguran dalam kejadian di Ambangan Heights, di sini Khamis lalu direman tujuh hari.

Perintah reman yang bermula hari ini hingga Rabu depan terhadap suspek berusia 43 tahun itu dikeluarkan oleh Majistret Mohamad Azlan Basri, pagi ini.

Terdahulu, suspek yang memakai baju lokap berwarna ungu dan berpelitup muka tiba di pekarangan Mahkamah Sungai Petani kira-kira pukul 8.30 pagi dengan diiringi anggota polis.

Lelaki terbabit ditahan di Alor Setar, petang semalam selepas dipercayai lima hari melarikan diri sejak kejadian terbabit.

Dalam kejadian itu, suspek dikatakan bertindak kejam dengan membelasah isterinya berusia 39 tahun dengan penyangkut baju, getah paip, batang besi langsir dan penyapu selepas dipercayai bertengkar hal rumah tangga.

Selain cedera parah di badan dan muka, isterinya yang merupakan seorang kakitangan sebuah hospital, di sini turut keguguran dan kini sedang menerima rawatan di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH).

Mereka berkahwin di negara jiran pada Disember lalu, namun difahamkan belum mendaftar perkahwinan secara rasmi di negeri ini.

Siasatan lanjut polis mendapati, suspek merupakan individu sama yang mencederakan bekas isteri ketiganya, Jahidah Nordin, 48, lima tahun lalu yang masih koma sehingga kini.

Pada 9 Disember 2024, Mahkamah Sesyen Johor Bahru mendapati dia bersalah dan dikenakan hukuman penjara 10 tahun, namun hanya sempat menjalani hukuman itu selama 79 hari berikutan penangguhan pelaksanaan hukuman sementara proses rayuan.

Sementara itu abang mangsa, Mohd Firdaus Mokhtar, 45, yang ditemui di pekarangan mahkamah berkata, dia sekeluarga bersyukur kerana suspek berjaya ditahan dalam tempoh yang singkat.

“Kami sekeluarga gembira kerana dia berjaya ditahan dan ini merupakan satu petanda baik untuk mendapat keadilan untuk adik yang terkesan dengan sikap tidak berperikemanusiaannya.

“Biarlah proses undang-undang mengadilinya dan jika didapati bersalah kita berharap dia dikenakan hukuman setimpal dengan apa yang dilakukan terhadap ahli keluarga kami,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN