SUNGAI PETANI: Hujan lebat dalam tempoh singkat sejak beberapa hari lalu sehingga menyebabkan tiga buah rumah mengalami banjir lumpur menggusarkan penduduk di Kampung Serukam di sini.
Ini kerana, mereka mendakwa kejadian itu berpunca daripada runtuhan tanah di tapak projek pembinaan rumah baharu yang terletak hanya kira-kira dua meter sahaja dari kediaman mereka.
Oleh itu, penduduk meminta pemaju terlibat segera mengambil langkah membaiki termasuk mengorek parit besar bagi melancarkan aliran air dan membina tembok penampan.
Seorang penduduk, Bedah Dahaman, 93, berkata, sejak kebelakangan ini dia tidak lena tidur setiap kali melihat cuaca gelap menandakan bakal hujan.
“Tapak pembinaan itu hampir dengan rumah yang saya duduki sejak lebih 40 tahun lalu.
“Sudah dua kali rumah dimasuki air berlumpur kerana tiada tembok penampan atau parit sempurna dibina pemaju sejak projek itu dimulakan lebih lapan bulan lalu,” katanya ketika ditemui semalam.
Kelmarin, tiga buah rumah di kampung itu terjejas selepas dimasuki air yang turut menyebabkan perkakasan rumah dan barangan elektrik rosak akibat terendam dalam air.
Tinjauan mendapati, pihak pemaju telah mengambil langkah segera menghantar pasukan bagi tujuan membersihkan rumah penduduk terlibat selepas kejadian itu.-UTUSAN.











