Isi minyak dua minit, kaedah BUDI95 mudah, jimat masa

Isi minyak dua minit, kaedah BUDI95 mudah, jimat masa

SEORANG anggota polis, Koperal Mohd. Affendy Abu cuba mengisi minyak dengan menggunakan MyKad di bawah insiatif BUDI95 di stesen minyak Shell di Jelutong, George Town, Pulau Pinang hari ini. UTUSAN/DANIAL SAAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN: Kaedah yang diguna pakai di stesen minyak untuk menebus Budi Madani RON95 (BUDI95) disifatkan sangat mudah serta menjimatkan masa, sekali gus memberi manfaat besar kepada orang ramai termasuk anggota polis dan tentera yang sentiasa dalam tugas.

Penolong Ketua Balai Polis Jelutong, Sarjan Mejar Herman Deng berkata, sistem berkenaan amat membantu kerana anggota hanya perlu memasukkan nombor kad pengenalan bagi melengkapkan transaksi.

“Segalanya berjalan lancar tanpa perlu beratur di kaunter. Bagi kami yang sering mengejar tugasan, kemudahan seperti ini amat diperlukan,” katanya ditemui di stesen minyak Shell di Jelutong, hari ini.

Dalam pada itu, Koperal Jonathan Anak Philip, 34, yang turut mencuba sistem tersebut mengakui prosesnya sangat pantas.

“Kami dalam tugas, jadi memang perlukan kaedah cepat. Dengan BUDI95, isi minyak ambil masa dua minit sahaja menggunakan kad debit. Selesai isi minyak kami terus boleh bergerak,” katanya.

Bagi Koperal Mohd. Affendy Abu, 37, BUDI95 memberi pengalaman baharu yang lebih mesra pengguna berbanding kaedah sebelum ini.

“Hanya perlu sentuh kad bank, dalam seminit urusan selesai. Mudah, ringkas dan saya amat berpuas hati,” ujarnya.

Konstabel Azizi Adnan, 32, pula memberitahu, penggunaan sistem itu bukan sahaja mudah malah memberi penjimatan jelas kepada pengguna.

“Sistem sangat senang digunakan, kita tak perlu pergi kaunter lagi. Kita boleh terus isi minyak, hanya RM3 sudah boleh dapat minyak jimat separuh harga. Memang berbaloi,” katanya yang memberitahu, inisiatif itu amat membantu anggota polis yang berpendapatan sederhana kerana ia mengurangkan perbelanjaan bahan api bulanan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan, Superintenden Jay January Siowou menyambut baik pelaksanaan BUDI95 kepada anggota badan beruniform seperti polis dan tentera bermula hari ini.

“Saya harap semua anggota yang mendapat manfaat ini akan menggunakan subsidi ini dengan sebaiknya,” ujar beliau.

Kira-kira 300,000 anggota tentera dan polis merupakan kumpulan pertama menikmati subsidi petrol RON95 pada harga RM1.99 berbanding harga pasaran semasa RM2.05 seliter, menerusi inisiatif BUDI95 yang akan dilaksanakan sepenuhnya pada 30 September ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN