KOTA KINABALU: “Orang mati tidak dapat menuntut keadilan; menjadi tanggungjawab orang yang hidup untuk menuntutnya bagi pihak mereka.”
Demikian terjemahan petikan novel Diplomatic Immunity’ tulisan Lois McMaster Bujold amat sesuai untuk menggambarkan situasi yang akan berlaku dalam masa kurang daripada 24 jam daripada sekarang.
Kisah kematian Zara Qairina Mahathir, remaja berusia 13 tahun ini mencetuskan satu fenomena atau gerakan yang bukan sahaja di dalam negara tetapi melimpah ke negara jiran seperti Thailand dan Indonesia.
Hari ini di Mahkamah Koroner Kota Kinabalu, Hakim Mahkamah Sesyen, Amir Shah Amir Hassan memulakan tugasnya untuk merungkai pelbagai persoalan berkait dengan kematian pelajar Tingkatan Satu, Zara Qairina Mahathir.
Bertindak sebagai Koroner, Amir Shah perlu meneliti kira-kira 70 orang saksi dalam menjawab persoalan 5W 1H yang menyumbang kepada kematian remaja berkenaan.
• Apa (what) yang sebenarnya berlaku?
• Kenapa (why) ia berlaku?
• Bila (when) ia berlaku?
• Di mana (where) ia berlaku?
• Siapa (who) yang terlibat atau melakukannya?
• Bagaimana (how) ia dilakukan?
Berdasarkan kenyataan dikeluarkan Jabatan Peguam Negara pada 29 Ogos lalu, seramai 70 orang saksi akan dipanggil memberi keterangan.
Difahamkan, beberapa saksi bawah umur akan turut dipanggil memberi keterangan pada prosiding inkues itu.
Koroner itu juga perlu membuat dapatan sama ada terdapat unsur jenayah, kecuaian atau sebarang faktor yang membawa kepada pengakhiran yang tragis itu.
Pada prosiding bermula hari ini sehingga 30 September ini, Amir Shah dibantu pegawai-pegawai pengendali, diketuai Timbalan Ketua Pendakwaan II Jabatan Peguam Negara, Datuk Badius Zaman Ahmad bersama-sama Pengarah Pendakwaan Negeri Sabah, Nahra Dollah dan Timbalan-Timbalan Pendakwa Raya, Mohd. Fairuz Johari, Dana Arabi Wazani, Sofia Sawayan dan Dacia Jane Romanus.
Turut membantu, barisan peguam mewakili Noraidah Lamat, ibu Zara Qairina, yang diberi kebenaran untuk menyoal saksi-saksi serta mendapat akses kepada semua dokumen berkaitan kes tersebut selepas diiktiraf sebagai pihak berkepentingan dalam prosiding inkues itu.
Pada prosiding yang sebelum ini didengar oleh Koroner Azreena Aziz yang juga merupakan Pengarah Mahkamah Negeri Sabah turut membenarkan permohonan serupa daripada peguam yang mewakili lima remaja perempuan bawah umur yang didakwa di Mahkamah Kanak-Kanak Kota Kinabalu minggu lalu berhubung kes buli berkenaan.
Koroner terbabit kemudian menarik diri daripada mendengar kes berkenaan atas alasan beliau menetap di Papar, lokasi sekolah agama yang dihadiri Allahyarham Zara Qairina, walaupun beliau tidak mengenali nama-nama yang didakwa terbabit dalam kes itu.
Zara Qairina, 13, disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth di Kota Kinabalu pada 17 Julai. Beliau sebelum itu dimasukkan ke hospital selepas ditemukan tidak sedarkan diri di dalam longkang berhampiran asrama sekolahnya di Papar pada pukul 4 pagi, 16 Julai.
Pada 13 Ogos, Jabatan Peguam Negara (AGC) mengarahkan supaya prosiding inkues dilakukan selepas meneliti laporan siasatan yang dikemukakan oleh pihak polis.
Pada 8 Ogos, AGC memaklumkan kubur Zara Qairina perlu digali semula bagi membolehkan prosedur bedah siasat dijalankan ke atas jenazah pelajar berkenaan.
Berikutan itu, pada hari berikutnya, kubur Zara Qairina di Tanah Perkuburan Islam Tanjung Ubi, Kampung Mesapol, Sipitang, digali semula dan jenazah dibawa ke Hospital Queen Elizabeth I untuk proses bedah siasat, sebelum selamat dikebumikan semula awal pagi 10 Ogos di tanah perkuburan sama.
Memetik kenyataan Hakim Mahkamah Tinggi Seremban, Datuk Azizul Azmi Adnan (kini Hakim Mahkamah Rayuan) dalam rayuan berkait kematian remaja Ireland, Nora Anne Quorin:
“Kita (mahkamah) tidak berupaya membantu dalam mencari jawapan dicari namun diharapkan prosiding ini dapat membantu dalam jalan yang panjang menuju penyembuhan (healing)”.
Sementara itu Mahkamah Tinggi semalam membatalkan keputusan koroner yang membenarkan peguam mewakili lima remaja didakwa terbabit dalam kes buli Allahyarham Zara Qairina Mahathir, daripada menjadi pihak berkepentingan dalam prosiding inkues itu.
Mahkamah bagaimanapun membenarkan permohonan dikemukakan semula di hadapan koroner baharu yang mengendalikan kes berkenaan.
Keputusan tersebut dibuat Hakim Datuk Duncan Sikodol selepas mendengar hujahan daripada pasukan peguam keluarga Allahyarham Zara Qairina dan Persatuan Guaman Sabah (SLS).
“Sebarang perintah yang dibuat berkaitan sebarang permohonan dalam inkues itu adalah dibatalkan. Jadi, pihak-pihak bebas untuk mengemukakan semula permohonan mereka kepada koroner baharu,” katanya.
Duncan berkata, koroner sebelum ini membenarkan peguam yang mewakili lima remaja itu mengambil bahagian pada prosiding inkues bagi kes Allahyarham Zara Qairina sebagai pihak berkepentingan.
Koroner terbabit bagaimanapun menarik diri daripada mendengar kes atas alasan terdapat kepentingan peribadi.
“Memandangkan beliau (koroner) memutuskan untuk menarik diri daripada mengendalikan kes ini, adalah tidak wajar untuk beliau membuat keputusan terhadap isu substantif yang sepatutnya diputuskan oleh koroner baharu,” katanya. – UTUSAN








