Inkues Zara Qairina: Lima tangkap layar pertengkaran kakak tiri Zara didedah di mahkamah

Inkues Zara Qairina: Lima tangkap layar pertengkaran kakak tiri Zara didedah di mahkamah

ZARA Qairina Mahathir meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth I, Kota Kinabalu pada 17 Julai 2025.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Sebanyak lima tangkap layar perbualan di Facebook yang memaparkan pertengkaran antara kakak tiri Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir dengan ibu tirinya, Noraidah Lamat, didedahkan di Mahkamah Koroner di sini hari ini.

Memuatkan artikel berkaitan…

Tangkap layar berkenaan disimpan Malianah Mahathir, 25, selepas dihantar bapanya, Mahathir Mohd Hashim, ketika beliau berusia 13 tahun.

Saksi ke-81 itu berkata, bapanya menghantar bahan berkenaan kepadanya bagi mengetahui punca pertengkaran antara beliau dengan Noraidah yang dipanggilnya sebagai Mama Zara.

“Bapa mengambil tangkap layar berkenaan dan menghantarnya kepada saya, jadi saya menyimpannya sehingga kini.

“Bapa menghantar tangkap layar itu kerana mahu tahu mengapa saya bertengkar dengan Mama Zara,” katanya ketika menjawab soalan Pegawai Pengendali, Mohd Fairus Johari, di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan.

Menurut Malianah, dia tidak dapat memastikan bila perbualan berkenaan berlaku, namun tiga tarikh iaitu 11 Jun, 21 Ogos dan 5 September tertera pada tangkap layar tersebut.

Malianah menjelaskan, dia ketika itu belum mempunyai peranti sendiri dan menggunakan peranti ahli keluarga untuk mengakses Facebook.

“Saya tidak pasti tahun bila, tetapi saya berumur 13 tahun masa itu,” katanya.

Saksi itu turut memberitahu mahkamah bahawa perbualan berkenaan berlaku melalui akaun Facebook menggunakan nama Zara, yang dipercayainya diwujudkan oleh bapanya.

Bagaimanapun, ketika disoal balas peguam Shahlan Jufri yang mewakili ibu Zara, Malianah mengakui perkara itu adalah andaian semata-mata.

Katanya, andaian itu dibuat kerana bapanya pernah mencipta akaun Facebook untuknya serta tiga adik-beradiknya.

Malianah juga bersetuju bahawa sebahagian perkataan yang terdapat dalam mesej dan didakwa ditulis Noraidah mempunyai gaya bahasa yang lazim digunakan golongan muda.

Namun, dia kekal dengan keterangannya bahawa mesej itu ditulis ibu tirinya berdasarkan pengalamannya tinggal bersama Noraidah.

“Saya 100 peratus pasti itu ibu Zara kerana saya pernah tinggal bersamanya. Perkataan ‘anak haram’ memang kerap diucapkannya semasa saya tinggal bersamanya. Jadi saya sangat pasti itu dia,” katanya.

Mahkamah kemudian mendengar kandungan mesej yang terdapat dalam lima tangkap layar berkenaan apabila saksi membacakannya di hadapan Koroner.

Allahyarhamah Zara Qairina ditemui tidak sedarkan diri di tingkat bawah asrama sekolahnya pada 16 Julai 2025 sebelum disahkan meninggal dunia pada keesokan harinya di Hospital Queen Elizabeth. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN