KUALA LUMPUR: Prinsip Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) kini bukan lagi satu pilihan, sebaliknya keperluan mendesak yang harus diberi perhatian serius oleh semua jenama dan perniagaan sekiranya mahu kekal relevan serta dipercayai.
Timbalan Menteri Perpaduan Negara, Saraswathy Kandasami berkata, walaupun isu tadbir urus sudah mula diberi penekanan di peringkat antarabangsa lebih dua dekad lalu, namun pelaksanaan dan penghayatan nilai-nilai itu dalam kehidupan seharian masih berjalan perlahan.
“Selepas hampir 25 tahun, kita masih lagi berbincang soal tadbir urus, ketelusan dan akauntabiliti. ESG tidak boleh sekadar menjadi wacana di bilik mesyuarat, ia mesti diterjemahkan dalam kehidupan seharian dan dalam cara syarikat mengurus perniagaan mereka.
“Malaysia tidak mampu ketinggalan dalam aspek reputasi, pelaburan dan tujuan jenama kerana syarikat yang mengabaikan ESG mungkin memperoleh keuntungan jangka pendek tetapi berisiko kehilangan kepercayaan jangka panjang.
“Kepercayaan yang hilang amat sukar untuk dipulihkan, bukan sahaja kepada syarikat, malah kepada institusi dan negara,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan ESG and Brands Forum (EBF) 2025, bertemakan “Smart Growth: Inclusive & Sustainable Branding” yang menghimpunkan pembuat dasar, pelabur, pengawal selia dan profesional ESG bagi meneroka strategi menyeimbangkan keuntungan dengan tujuan melalui amalan penjenamaan mampan.
EBF 2025 telah menarik lebih 150 peserta dan penceramah daripada pelbagai industri dengan penyertaan aktif rakan kongsi serta penaja.
Mengulas lanjut, Saraswathy berkata, keperluan mendidik perusahaan kecil dan sederhana (PKS) mengenai kepentingan ESG kerana kumpulan itu memainkan peranan besar dalam membentuk ekosistem perniagaan negara.
“Literasi ESG dalam kalangan PKS masih rendah. Mereka menghadapi kekangan sumber, literasi yang lemah dan kedudukan pasaran yang terbatas. Polisi, insentif, latihan dan sokongan digital mesti sampai kepada mereka, khususnya perusahaan yang diketuai wanita,” katanya.
Mengulas tentang kepelbagaian masyarakat Malaysia, beliau berkata, perpaduan merupakan tiang utama dalam tadbir urus yang baik.
“Perpaduan bukan bermakna keseragaman, tetapi penghormatan bersama dan matlamat bersama. Apabila perniagaan mengamalkan kepelbagaian, kesaksamaan dan rasa hormat dalam pengambilan pekerja serta rantaian bekalan, ia bukan sahaja memperkukuh perpaduan tetapi juga memperoleh legitimasi,” katanya.
Beliau turut menyeru agar ESG tidak dilihat sebagai beban kepada syarikat, sebaliknya menjadi panduan untuk membina perniagaan yang lebih mampan dan bertanggungjawab.
“Keberhasilan sesebuah jenama bukan sahaja diukur pada keuntungan, tetapi juga pada impak kepada pekerja, komuniti dan alam sekitar. Malaysia perlu melangkah ke hadapan dengan memanfaatkan kepelbagaian, tradisi dan warisan sebagai asas penjenamaan yang berdaya tahan dan lestari,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Penganjur EBF 2025, Shikha Kedia Bharadwaj berkata, kejayaan forum tersebut membuktikan momentum semakin meningkat untuk penjenamaan inklusif dan mampan.
“Dengan menghimpunkan pelbagai perspektif, kita sedang membentuk masa depan di mana jenama bukan sahaja memberi nilai tetapi turut memberi impak positif kepada masyarakat dan alam sekitar,” katanya. – UTUSAN











