KUALA LUMPUR: Pertikaian sempadan antara Kemboja dan Thailand perlu dielakkan daripada menjadi satu lagi titik panas dalam konflik antarabangsa yang boleh mengancam keamanan dan kestabilan serantau.
Presiden Parlimen Kemboja, Samdech Maha Rathsapheathika Thipadei Khuon Sudary berkata, negara ASEAN perlu berhenti daripada menjadi penyumbang konflik ketika dunia sedang berdepan dengan pelbagai krisis yang kritikal.
Tegasnya, prinsip itu penting bagi menegakkan semangat ASEAN dan tanggungjawab bersama membina jambatan kepercayaan dan bukan tembok perpecahan yang memecahbelahkan.
“ASEAN mesti membina sempadan yang penuh dengan keamanan, persahabatan, solidariti dan kemakmuran bersama. Kita mesti mengelak daripada mengambil tindakan yang boleh meningkatkan ketegangan.
“Negara anggota ASEAN mesti mengelakkan sebarang penggunaan kekerasan terhadap orang awam dan harta benda, terutamanya dalam kalangan negara jiran,” katanya semasa sesi plenari sempena Perhimpunan Agung Antara Parlimen ASEAN (AIPA) di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), di sini hari ini.
Kemboja dan Thailand mencapai perjanjian damai pada 28 Julai lalu, selepas pertempuran tentera selama lima hari di bahagian utara negara itu, yang menyebabkan hampir 150,000 rakyat Kemboja kehilangan tempat tinggal.
Pertikaian sporadik berlaku antara kedua-dua anggota ASEAN itu berhubung kawalan ke atas wilayah meliputi sempadan sepanjang 817 kilometer yang belum ditanda dengan jelas.
Khuon Sudary turut melahirkan kebimbangan mengenai risiko pelanggaran berterusan gencatan senjata antara Kemboja dan Thailand.
Katanya, situasi itu boleh menghakis kepercayaan politik, mencetuskan semula konflik bersenjata sekali gus mendatangkan mudarat terhadap kedua-dua negara.
“Kita tidak boleh mengamalkan hukum rimba melalui pelaksanaan undang-undang tentera yang jelas mencabuli kedaulatan dan keutuhan wilayah negara lain.
“Sehubungan itu, kita perlu terus menyokong usaha berterusan pasukan Pemerhati Interim (IOT) dan bekerjasama ke arah pembentukan serta penempatan IOT secara selamat.
“Kita juga perlu menghentikan kekuatan ketenteraan dua hala, menghentikan kerja penandaan sempadan secara unilateral dan membenarkan Suruhanjaya Sempadan Bersama untuk meneruskan tugas berdasarkan perjanjian sedia ada dan undang-undang antarabangsa.
“Jika kita mempercayai undang-undang antarabangsa, kita perlu menghormati keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ),” katanya.
Terkini, Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet menggesa ASEAN untuk menggalakkan pelaksanaan berkesan gencatan senjata antara Kemboja dan Thailand bagi memastikan kestabilan di kawasan sempadan yang dipertikaikan.
Malaysia, dengan sokongan Amerika Syarikat dan China menjadi perantara dalam memeterai perjanjian damai bagi menamatkan konflik ketenteraan itu pada 28 Julai dan mesyuarat Luar Biasa Jawatankuasa Sempadan Am diadakan di Kuala Lumpur pada 7 Ogos bagi mengukuhkan perjanjian damai itu. – UTUSAN










