Dua stesen kesan gempa akan dibina pantau gempa di Segamat

Dua stesen kesan gempa akan dibina pantau gempa di Segamat

MOHD. EZZUDDIN Sanusi memberi taklimat dalam Program Pengurusan Risiko Bencana Gempa Bumi Bersama Pemimpin Komuniti Segamat di Dewan Serbaguna Jalan Genuang, Segamat hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEGAMAT: Dua stesen seismik akan dibina bagi menempatkan alat seismometer untuk mengesan dan mengukur kekuatan gelombang seismik susulan enam kejadian gempa bumi lemah di daerah ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Segamat, Mohd. Ezzuddin Sanusi berkata, pihaknya sedang meneliti kawasan yang sesuai bagi pemasangan alat tersebut.

Menurutnya, stesen berkenaan akan dibangunkan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia).

“JPBD Segamat sudah membuat permohonan kepada kerajaan negeri dan persekutuan. Setakat ini permohonan sedang diteliti dan lokasi sesuai sedang dinilai.

“Difahamkan lokasi pembinaan stesen tersebut tidak boleh berhampiran dengan jalan raya dan penempatan penduduk serta jauh bebas daripada habitat liar kerana alat seismometer sensitif kepada bunyi,” katanya dalam Program Pengurusan Risiko Bencana Gempa Bumi Bersama Pemimpin Komuniti Segamat di Dewan Serbaguna Jalan Genuang di sini hari ini.

Untuk rekod, MetMalaysia mengoperasikan 80 sensor seismik di seluruh negara setakat ini termasuk enam di Johor bagi mengesan sebarang aktiviti gempa bumi.

Enam alat pengesan gegaran itu terletak di Gelang Patah, Johor Bahru, Batu Pahat, Kluang, Kota Tinggi, dan Mersing.

Sementara itu, beliau yang juga Pegawai Daerah Segamat memaklumkan sebanyak 64 laporan kerosakan membabitkan kediaman dan surau.

Jelasnya, laporan kerosakan bagaimanapun hanya melibatkan kerosakan kecil seperti retakan pada dinding dan siling. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN