PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkongsi maksud 14 istilah menerusi infografik ‘Leksikon Belanjawan 2027’ dalam hantaran di media sosial hari ini.
Menurut Pusat Rujukan Persuratan Melayu (PRPM), leksikon bermaksud kamus atau perbendaharaan kata sesuatu bahasa atau bidang.
Antara istilah yang digunakan dalam Belanjawan semalam ialah ‘waad’ yang bermaksud janji atau ikrar, ‘lighad’ (untuk hari esok) dan ‘seyogia’ (sepatutnya atau sewajarnya).
Infografik itu turut menerangkan ‘citra nusa’ sebagai gambaran atau imej tanah air, manakala ‘beranotasi’ bermaksud disertakan catatan atau penjelasan tambahan.
“‘Menata’ pula dijelaskan sebagai menyusun atau mengatur secara terancang, sementara ‘inayat’ bermaksud pertolongan atau kurniaan, lazimnya daripada Tuhan.
“Selain itu, ‘pranata’ merujuk kepada sistem, peraturan atau institusi yang mengatur kehidupan masyarakat, manakala ‘filasuf’ bermaksud ahli falsafah,” katanya.
Menurut infografik berkenaan, ‘Ithaca’ ialah kota purba di Greece dan tanah air Odysseus yang dalam kesusasteraan digambarkan sebagai ingatan sejarah yang murni serta tulus.
“Istilah ‘dasawarsa’ pula bermaksud tempoh sepuluh tahun atau satu dekad, sementara ‘khulasah’ merujuk kepada rumusan atau inti pati sesuatu perkara.
“‘Turath’ diterangkan sebagai warisan keilmuan dan pemikiran tradisional, khususnya dalam tradisi Islam,” katanya.
Infografik itu turut memuatkan istilah ‘zaman mansang’ yang dijelaskan dengan meminjam istilah Jerman ‘zeitgeist’, berkaitan semangat, tuntutan dan amanah zaman serta tanggungjawab generasi hari ini terhadap generasi seterusnya. – UTUSAN











