Kes buli, dakwaan guru pukul murid diserah kepada polis - Utusan Malaysia

Kes buli, dakwaan guru pukul murid diserah kepada polis

KHAIRUDIN Abu Hanipah ditemui pemberita pada sambutan Hari Sukan Negara Peringkat Negeri Perak 2026 di Kompleks Belia dan Sukan Negeri Perak di Ipoh hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Kerajaan negeri menyerahkan kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan berhubung dakwaan kes buli membabitkan dua pelajar di sebuah sekolah menengah agama di Chemor dan kejadian seorang murid didakwa dipukul guru di Pengkalan Hulu.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Perak, Datuk Khairudin Abu Hanipah berkata, pihaknya enggan mengulas lanjut kerana kedua-dua kes berkenaan kini dalam siasatan polis.

Katanya, difahamkan tiga laporan polis telah dibuat berhubung kes di Chemor termasuk laporan oleh guru yang terlibat.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Sebelum ini, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan pihak sekolah telah mengambil tindakan mengikut prosedur ditetapkan serta mengadakan perbincangan dengan keluarga mangsa berhubung kedua-dua kes berkenaan.

“Saya difahamkan telah pun berlaku majlis permuafakatan antara pihak PPD, pihak sekolah serta keluarga pelajar terlibat dan telah pun ada jalan penyelesaian,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Sambutan Hari Sukan Negara Peringkat Negeri Perak Tahun 2026 di Kompleks Belia dan Sukan Negeri Perak, di sini hari ini.

Mengulas lanjut beliau berkata, pihak sekolah telah melaksanakan prosedur pelaporan 1-3-7 yang ditetapkan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) selain mengadakan perbincangan bagi mencari penyelesaian terhadap isu berkenaan.

Katanya, pihak sekolah juga mempunyai prosedur operasi standard (SOP) yang perlu dipatuhi termasuk membuat laporan sekiranya berlaku kejadian yang boleh menjejaskan keselamatan atau kesihatan murid.

“Keutamaan ketika ini adalah memastikan kebajikan dan keselamatan murid terpelihara supaya mereka dapat meneruskan pembelajaran dalam suasana aman serta menduduki peperiksaan dengan baik,” katanya.

Pada 5 Oktober lalu, seorang wanita mendakwa dua anak lelakinya menjadi mangsa buli rakan dan kekerasan guru di sebuah sekolah menengah agama di Chemor di sini dalam dua kejadian berasingan pada Julai dan Ogos lalu.

Nor Azwani Ahamad , 43, mendakwa, anak lelakinya yang berumur 18 tahun telah ditampar sebanyak enam kali di pipi oleh seorang guru manakala adik remaja itu berumur 17 tahun pula telah ditampar dan ditumbuk oleh rakan di asrama kerana enggan rambutnya digunting secara paksa.

Pada 2 Oktober lalu, media turut melaporkan seorang murid berusia 11 tahun didakwa dipukul oleh gurunya di sebuah sekolah di Pengkalan Hulu. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini