BUDI95: Proses mudah, cepat

BUDI95: Proses mudah, cepat

ANGGOTA Tentera Udara, Kapten Zarith Ruslan ketika menunjukkan aplikasi Setel yang tertera subsidi minyak RON95 pada tinjauan sistem BUDI95 untuk anggota tentera dan polis di Petronas Taman Setiawangsa di sini, hari ini. UTUSAN/ISKANDAR ISHAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pelaksanaan awal subsidi petrol Budi Madani RON95 (BUDI95) kepada anggota tentera bermula hari ini lancar dengan rata-rata daripada menyifatkan proses penebusan mudah dan cepat.

Ketua Sekolah Pengangkutan, Markas Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Kapten Zarith Ruslan, 30, berkata, beliau hanya perlu menyerahkan kad pengenalan di kaunter stesen minyak untuk menikmati harga subsidi RON95.

“Proses pengisian tidak sampai seminit untuk diselesaikan. Sebelum ini saya membelanjakan RM5 setiap kali mengisi minyak motosikal untuk ke tempat kerja, dan kini penjimatan yang diperoleh adalah lebih ketara,” katanya ketika ditemui di Stesen Minyak Petronas Taman Setiawangsa hari ini.

Subsidi petrol BUDI95 mula dilaksanakan secara berperingkat hari ini melibatkan kumpulan beruniform, sebelum diperluas kepada penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) esok dan seluruh rakyat pada 30 September.

Pegawai Komunikasi Strategik, Markas TLDM, Leftenan Madya Ahmad Azhari Muhammad Yazid, 27, berkata, inisiatif itu membantu mengurangkan beban bulanan terutama bagi anggota yang kerap menggunakan kenderaan peribadi.

“Melalui subsidi ini, saya dapat menjimatkan sekitar RM100 sebulan, sekali gus memudahkan saya mengurus perbelanjaan khususnya apabila perlu bertugas di luar kawasan,” katanya.

Anggota Bahagian Perkhidmatan Am, Angkatan Tentera Darat, Koperal Hilmi Azlan, 29, pula berkata, kelebihan aplikasi digital yang disediakan memudahkan pengguna.

“Melalui aplikasi Setel, baki subsidi boleh disemak serta pembayaran dibuat tanpa perlu beratur di kaunter. Prosesnya hanya mengambil masa sekitar beberapa minit, sekali gus lebih praktikal terutama pada musim perayaan,” katanya

Sementara itu, Pegawai Staf, Markas Angkatan Tentera Malaysia, Kapten Muhammad Hidayat Khairul Nizar, 28, berkata, penjimatan daripada BUDI95 memberi ruang untuknya menggunakan wang lebihan untuk tujuan lain.

“Saya berulang-alik dari Sungai Besi setiap hari. Subsidi ini dapat mengurangkan kos minyak, manakala lebihan wang boleh digunakan untuk tujuan lebih penting,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN