BALIK PULAU : Bank Negara Malaysia (BNM) sedang meneliti secara terperinci pelaksanaan Peraturan 78 dalam pinjaman sewa beli bagi memastikan sebarang pindaan yang dibuat dapat memberikan manfaat kepada sistem kewangan negara serta melindungi kepentingan pengguna.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, pihaknya yakin BNM akan mengambil kira segala implikasi sebelum sebarang keputusan dimuktamadkan.
“Kalau kita lihat secara terperinci, proses ini masih dipertimbangkan oleh Bank Negara. Jadi, saya percaya Bank Negara akan memberikan penelitian terhadap sebarang implikasi kalau nak menukar apa-apa. Ini untuk kebaikan sistem kewangan yang ada dalam negara ini juga,” katanya dalam sidang akhbar selepas melawat beberapa lokasi di Pulau Betong yang menjadi Kampung Angkat Madani bagi Kementerian Kewangan.
Peraturan 78 merupakan kaedah pengiraan kadar faedah dalam pinjaman sewa beli di mana bayaran faedah diagihkan lebih tinggi pada peringkat awal pinjaman dan kaedah itu dilihat memberi kesan kepada peminjam sekiranya mereka membuat penyelesaian awal kerana jumlah pokok pinjaman yang masih tinggi perlu dijelaskan.
Sebelum ini, Pakar Ekonomi, Prof. Emeritus Dr. Barjoyai Bardai berpendapat, Peraturan 78 atau Rule 78 yang digunakan dalam pengiraan kadar faedah pinjaman di Malaysia perlu dimansuhkan segera dan digantikan dengan kadar faedah efektif yang tidak membebankan peminjam.
Katanya, langkah itu penting supaya peminjam mendapat kadar pembayaran pinjaman yang lebih adil berbanding Peraturan 78. Beliau berkata, peraturan tersebut hanya menguntungkan institusi kewangan, manakala peminjam terpaksa menanggung faedah yang tinggi iaitu mencecah sehingga 50 peratus daripada jumlah pinjaman sebenar
Mengulas lanjut, Amir Hamzah berkata Malaysia juga perlu mengambil masa untuk mempelajari amalan terbaik di negara lain sebelum sebarang perubahan dilaksanakan, sekali gus memastikan sebarang keputusan yang diambil tidak menjejaskan kestabilan sistem kewangan.
“Saya kira, perlu masa sedikit untuk belajar apa yang dibuat di tempat-tempat lain,” ujar beliau.-UTUSAN










