Banteras rasuah seiring ekonomi Islam

Banteras rasuah seiring ekonomi Islam

ANWAR Ibrahim berucap pada Majlis Penganugerahan Kewangan Islam Global 2025 (GIFA) di Kuala Lumpur hari ini. - UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Perjuangan menolak rasuah perlu seiring dengan pengukuhan ekonomi berasaskan prinsip Islam yang telah membuktikan keupayaannya sebagai alternatif lebih adil dan inklusif.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sistem perbankan Islam yang diperkenalkan pada 1983 pernah diragui, malah dipandang sinis oleh segelintir pihak kononnya membawa masyarakat ke belakang.

Beliau berkata, penerimaan pada hari ini membuktikan kewangan Islam berkembang sebagai sistem yang berdaya tahan dan relevan, sekali gus menjadi pilihan beretika serta mampan untuk semua lapisan masyarakat.

“Ketika itu ada yang beranggapan kita kembali ke zaman unta. Namun, realitinya penyertaan masyarakat Islam dan bukan Islam dalam sistem ini amat memberangsangkan.

“Kekuatan ekonomi Islam bukan hanya terletak pada instrumen kewangan tetapi pada nilai moral yang menolak rasuah, penyelewengan dan kezaliman,” katanya ketika berucap pada Majlis Penganugerahan Kewangan Islam Global 2025 (GIFA) di sini, hari ini.

Perdana Menteri berkata, Malaysia mesti bersih daripada rasuah dan ketidakadilan bagi menjamin pembangunan ekonomi yang mampan serta beretika.

Anwar berkata, usaha membanteras rasuah tidak boleh dipandang ringan kerana ia menjadi asas kepada pembinaan sebuah negara berintegriti dan dihormati.

Katanya, asas kemajuan negara mestilah dibina atas sistem yang bersih daripada penyelewengan serta berteraskan keadilan sosial.

“Malaysia mesti terus komited melahirkan masyarakat beretika dan berprinsip bagi memastikan masa depan negara kekal seimbang serta inklusif. Kewangan Islam perlu menjadi mercu tanda keadilan, maruah dan harapan untuk seluruh manusia,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×