PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim merakamkan penghargaan tertinggi kepada seluruh warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sempena sambutan Hari ATM Ke-92 hari ini.
Perdana Menteri berkata, pengorbanan dan khidmat bakti anggota serta pegawai ATM dalam mempertahankan kedaulatan negara amat dihargai dan sentiasa dikenang sebagai jasa besar terhadap tanah air.
“Saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan atas khidmat bakti dan pengorbanan para pegawai serta anggota ATM dalam mempertahankan kedaulatan negara yang tercinta.
“Semoga seluruh warga ATM sentiasa dikurniakan kesihatan, kekuatan dan semangat juang yang tinggi dalam melaksanakan amanah serta tanggungjawab demi tanah air,” katanya menerusi hantaran di platform Facebook hari ini.
Perdana Menteri turut menzahirkan penghargaan kepada para pesara ATM yang telah menabur bakti sepanjang tempoh perkhidmatan mereka, selain mendoakan agar roh perajurit yang telah gugur ditempatkan dalam kalangan solihin dan syuhada.
“Al-Fatihah buat perajurit yang telah pergi mendahului kita. Semoga roh mereka dicucuri rahmat Allah,” katanya.
Dalam pada itu, Anwar mendoakan agar ATM terus diperkasa sebagai benteng utama pertahanan negara selaras dengan peranan besarnya dalam menjaga keamanan dan kedaulatan Malaysia.
“Dirgahayu ATM,” katanya. – UTUSAN










