MELAKA: Negara-negara anggota ASEAN disaran terus mempertahankan kestabilan politik dan ekonomi sejak enam dekad lalu walaupun dunia kini semakin kompleks.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, bahawa kekuatan ASEAN bukan sahaja terletak pada kepelbagaian kita tetapi juga pada komitmen yang tidak berbelah dalam pelbagai aspek.
Menurutnya, lebih penting adalah untuk mewujudkan keamanan, kepercayaan, diplomasi, kesopanan antara negara-negara ASEAN.
Beliau menegaskan perkara tersebut amat penting kerana pada masa ini beliau mendapati beberapa isu-isu yang akan menimbulkan ketidakpercayaan dan permusuhan dapat dielakkan.
Tegasnya, isu keselamatan adalah asas kepada kekuatan ASEAN seterusnya menjadi asas pembangunan ekonomi serantau.
“Jadi kita harus segera tanganinya, kita harus lebih berhati-hati kerana tanpa kepercayaan itu, tanpa berkongsi maklumat maka kita mungkin tidak akan menguatkan ikatan yang telah kita miliki sejak enam dekad lalu.
“Saya tetap komited, walaupun terdapat isu sempadan yang antara Thailand dan Kemboja tetapi alhamdulillah kini dikekalkan dari segi proses damai dan dihormati oleh kedua-dua negara.
“Bagi saya ASEAN adalah unik kerana saya sifatkan sebagai satu kawasan yang paling aman di dunia selain ekonomi paling dinamik dengan potensi besar serta menarik banyak pelabur dari seluruh dunia,” ujarnya berucap merasmikan Mesyuarat Menteri-Menteri ASEAN Mengenai Jenayah Rentas Sempadan (AMMTC) ke-19 dan mesyuarat berkaitan di sini hari ini.
Mengulas lanjut Anwar berkata, tanpa jaminan keselamatan, sukar bagi negara anggota membina hubungan diplomatik dan kerjasama ekonomi yang mampan.
Menurutnya, sepanjang mengalas jawatan sebagai Pengerusi ASEAN tahun ini, ratusan perbincangan telah berlangsung melibatkan kerajaan, sektor swasta serta badan bukan kerajaan.
Beliau berkata, persidangan AMMTC ke-19 amat penting mengenai keselamatan dan rentas sempadan bagi menangani pelbagai isu-isu lama yang semakin mendesak termasuk isu masa kini yang lebih kompleks.
“Ini adalah matlamat sesi dialog AMMTC diadakan yang tidak dapat saya huraikan lebih lanjut, kerana adan adalah pakar dan kepakaran kamu ada di sana.
“Saya tidak mahu menuntut lebih daripada ini, kerana semua pengalaman saya dalam kerajaan, saya tidak pernah berada di tempat yang selamat jadi saya tidak mempunyai kepakaran,” ujarnya.
Katanya, pertemuan itu bertujuan memperkukuh kepercayaan sesama negara anggota selain menegaskan komitmen bersama meningkatkan tahap piawaian keselamatan dan pembangunan rantau ini.
Menurutnya, bagi menjamin keselamatan di rantau ini seluruh anggota ASEAN perlu membina daya tahan dam kekuatan bersama melalui perkongsian dengan penguatkuasaan yang diselaraskan selain rangka kerja undang-undang berorientasikan masa depan. – UTUSAN











