PETALING JAYA: Perdana Menteri memberi amaran keras kepada Israel pada Sidang Kemuncak Luar Biasa Arab-Islam di Doha, susulan serangan udara terbaharu rejim Zionis yang menyasarkan kepimpinan Hamas serta menambah penderitaan kemanusiaan di Gaza.
Anwar menegaskan, serangan rejim Zionis terhadap Qatar membuktikan kezaliman mereka tidak mengenal batas.
“Saya bertegas akan membawa suara rakyat Malaysia bagi menzahirkan solidariti negara ini terhadap Qatar yang menjadi mangsa serangan biadab Israel dalam Sidang Kemuncak Tergempar Arab-Islam Doha, Qatar nanti.
“Serangan berkenaan bukan sahaja menindas rakyat Palestin sejak puluhan tahun, malah kini mengancam kedaulatan negara-negara Arab dan Islam seluruhnya,” katanya dalam kenyataan.
Anwar berkata, tiada negara yang akan selamat daripada serangan rejim zionis ini dan jika Qatar boleh diserang, maka tiada negara yang benar-benar selamat daripada ancaman mereka.
“Malaysia mengecam sekeras-kerasnya tindakan zalim ini. Kita berdiri teguh bersama Qatar dan Palestin serta seluruh dunia yang cintakan keamanan serta keadilan.
“Inilah saatnya untuk dunia Arab-Islam dan masyarakat antarabangsa bangkit bersatu mempertahankan maruah, menghentikan keganasan, dan menjamin keselamatan sejagat,” katanya.
Terdahulu, Perdana Menteri tiba di Doha malam semalam bagi menghadiri Sidang Kemuncak Luar Biasa Arab-Islam yang menghimpunkan pemimpin serta wakil negara anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) hari ini.
Pesawat khas membawa Perdana Menteri mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Hamad pada pukul 9.30 malam Ahad waktu tempatan (2.30 pagi Isnin waktu Malaysia) sebelum beliau menerima kawalan kehormatan daripada Pengawal Istiadat Amiri.
Ketibaan Anwar disambut Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pertahanan Qatar, Sheikh Saoud bin Abdulrahman Al Thani bersama Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Duta Besar Malaysia ke Qatar, Faizal Razali.
Turut mengiringi delegasi ialah Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan dan pegawai kanan Kementerian Luar.
Anwar hadir ke Doha atas jemputan Emir Qatar, Sheikh Tamim bin Hamad Al-Thani berikutan perkembangan terkini serangan Zionis Israel terhadap negara itu.
Menurut Perdana Menteri, Malaysia akan membawa suara rakyat bagi menzahirkan solidariti penuh terhadap Qatar yang kini menjadi mangsa serangan biadab Zionis selepas Palestin.
Serangan terhadap Qatar jelas membuktikan kezaliman Zionis tidak terbatas.
Ia bukan sahaja menindas rakyat Palestin sejak puluhan tahun, malah turut mengancam kedaulatan negara-negara Arab dan Islam seluruhnya. – UTUSAN










