PETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah melakukan beberapa tindakan baharu berkaitan siasatan rasuah konsesi perlombongan pasir membabitkan Menteri Besar Incorporated (MBI).
Ini berikutan terdapat khabar angin mendedahkan beberapa individu terkait dengan skandal rasuah itu dipanggil ke Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya pada minggu lalu.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, tindakan baharu itu telah dimasukkan dalam siasatan pihaknya.
“Saya tidak boleh dedahkan lagi siapa daripada itu, tetapi saya mengesahkan bahawa SPRM ada mengambil tindakan baharu berkaitan dengan MBI.
“Kes ini disiasat membabitkan isu rasuah dan pengubahan wang haram,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara SPRM dan Angkatan Koperasi Malaysia (ANGKASA), di Wisma Ungku A Aziz, di sini, hari ini.
Sebelum ini, media melaporkan sembilan premis digeledah semasa siasatan dan telah membekukan aset bernilai jutaan ringgit membabitkan siasatan kes MBI berkaitan rasuah konsesi perlombongan pasir. – UTUSAN









