PETALING JAYA: Salah guna kuasa dan ketirisan dalam sektor koperasi dilihat membimbangkan apabila sebanyak 356 kertas siasatan dibuka Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membabitkan 76 tangkapan dalam tempoh lima tahun ini.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, dalam tempoh 2020 hingga 2025 ini, sebanyak 42 pertuduhan dilakukan dengan tujuh sabitan daripada kertas siasatan dan hasil tangkapan dijalankan.
Menurutnya, angka ini memberi isyarat bahawa masih banyak yang perlu dilakukan dalam memerangi salah guna kuasa dan ketirisan dalam sektor ini.
“Memorandum Persefahaman (MoU) ini memberi peluang besar kepada SPRM untuk memperluas capaian dan keberkesanan usaha pencegahan rasuah ke dalam sektor koperasi.
“Statistik keanggotaan ANGKASA sehingga Mei 2025 adalah seramai 11,601. Angka ini menunjukkan MoU ini memberi peluang besar kepada SPRM untuk memperluas capaian dan keberkesanan usaha pencegahan rasuah ke dalam sektor koperasi,” katanya ketika berucap pada Majlis Menandatangani MoU antara SPRM dan ANGKASA, di Wisma Ungku A Aziz, di sini, hari ini.
Azam berkata, SPRM dapat melaksanakan pelbagai program berteraskan kesedaran, pendidikan dan inisiatif antirasuah seperti Ikrar Bebas Rasuah (IBR), Latihan Pegawai Integriti Bertauliah (CeIO) serta program pemerkasaan nilai integriti kepada pemimpin, pengurusan dan ahli koperasi bagi memelihara dan memperkukuh sokongan sektor koperasi terhadap usaha pencegahan rasuah oleh SPRM dan Kerajaan Malaysia.
“MoU ini bukan sekadar dokumen perundangan, ia adalah manifestasi iltizam dan tanggungjawab moral kedua-dua pihak untuk menjadikan sektor koperasi di Malaysia sebagai contoh unggul dalam tata kelola, integriti dan mendukung Malaysia sebagai sebuah negara yang bebas rasuah,” jelasnya.
Presiden ANGKASA, Datuk Seri Dr Abdul Fattah berkata, kerjasama strategik ini amat penting bagi memastikan koperasi di Malaysia bebas daripada salah guna kuasa, rasuah dan penyelewengan.
“ANGKASA sebagai badan puncak gerakan koperasi kini harus fokus kepada pembangunan perniagaan koperasi tetapi turut memberi komitmen penuh terhadap integriti dan amalan tadbir urus yang baik. Dengan adanya kerjasama bersama SPRM, saya percaya budaya sifar toleransi terhadap rasuah dalam setiap lapisan koperasi dapat diwujudkan.
“Selain kerjasama dengan SPRM, ANGKASA turut melaksanakan langkah-langkah dalaman untuk memperkukuh integriti, termasuk menubuhkan Unit Integriti sejak 2016 bagi memberi penerangan dan kursus pencegahan rasuah, memperkasakan Jawatankuasa Audit Dalaman serta melaksanakan audit secara berkala,” katanya ketika berucap.
Beliau berkata, setiap anggota koperasi diharap mengangkat integriti sebagai asas utama dalam setiap tindakan supaya matlamat menuju ke arah gerakan koperasi sifar rasuah dapat direalisasikan. – UTUSAN









