PETALING JAYA: Pekarangan Menara Berkembar PETRONAS semalam dibanjiri 15,000 peserta Malaysia Sarong Music Run (MSMR) Sempena Hari Malaysia 2025 melibatkan penyertaan dari dalam serta 26 negara luar.
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing berkata, acara itu bukan sahaja mengetengahkan gaya hidup sihat tetapi turut mempromosikan budaya, muzik, makanan dan busana tradisional Malaysia.
Beliau berkata, MSMR seiring dengan usaha mempromosikan Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM 2026) sekali gus mengangkat acara itu sebagai festival bertaraf antarabangsa yang memberi impak positif kepada sektor pelancongan.
“MSMR membawa mesej kebersamaan melalui pemakaian sarung. Ia simbol warisan budaya masyarakat kita dan mampu menarik perhatian dunia terhadap imej Malaysia,” katanya dalam kenyataan.
MSMR edisi ketiga ini dipacu oleh Jetour Malaysia selaku Penaja Utama dan Rakan Kereta Rasmi serta mendapat sokongan penuh daripada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).
Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr. Zaliha Mustafa bersama Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Dr. Maimunah Mohd. Sahrif.
Acara itu menampilkan tiga program utama iaitu EKI JETOUR X BSC pada 9 September lepas, Perlumbaan 5KM Malaysia Speed untuk rakyat tempatan dan 5KM Fun Run, terbuka kepada semua termasuk pelancong antarabangsa.
Sementara itu, Presiden Malaysia Marathon, Eddy Casmady berkata, sambutan yang diterima amat menggalakkan dan membuktikan MSMR kini berkembang sebagai festival masyarakat antarabangsa dalam tempoh yang singkat.
Katanya, edisi pertama di Kuala Lumpur Februari lalu merekodkan 11,000 peserta manakala edisi kedua di Kuching pada Julai menarik 5,500 peserta dengan 20,000 pengunjung.
“Penggunaan sarung sebagai elemen utama menyatukan masyarakat pelbagai generasi. Ramai keluarga menyertai acara ini bersama-sama melambangkan kebersamaan dan semangat kekeluargaan.
“MSMR Sempena Hari Malaysia 2025 dibanjiri 30,000 pengunjung sepanjang berlangsungnya acara, sekali gus mengukuhkan statusnya sebagai festival ikonik tanah air,” katanya.-UTUSAN









