PETALING JAYA: Terdapat keperluan mendesak untuk menyemak semula dan menyegerakan pelaksanaan lebih banyak langkah pemantauan berteknologi bagi meningkatkan tahap pengurusan keselamatan jalan raya di laluan Genting Highlands bagi mengurangkan kes kemalangan di lokasi tersebut.
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing berkata, keselamatan pengangkutan pelancongan bukan sahaja melibatkan nyawa penumpang malah memberi kesan langsung kepada imej pelancongan negara.
Katanya, sebarang risiko yang boleh membahayakan pelancong mesti dipandang serius dengan mengambil langkah pencegahan lebih proaktif dan berpandangan jauh.
Tambahnya, siasatan awal menunjukkan kemalangan bas persiaran yang berlaku di laluan Genting Highlands pada 30 Mei lalu, kemungkinan berpunca daripada kegagalan sistem breknya namun punca sebenar masih dalam siasatan.
“Bagaimanapun, berdasarkan maklumat semasa, pemandu yang terlibat bukan sahaja memiliki enam rekod kesalahan JPJ, malah turut mempunyai 29 rekod kesalahan trafik polis.
“Ini termasuklah memandu melebihi had laju, tiada lesen Vokasional (PSV) yang sah, tiada lesen memandu, melanggar isyarat lalu lintas, dan menggunakan telefon bimbit semasa memandu.
“Situasi ini amat membimbangkan dan sekali gus menunjukkan kepentingan untuk memperkukuh kawal selia kenderaan pelancongan, penapisan latar belakang pemandu, serta mekanisme penguatkuasaan keselamatan jalan raya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
King Sing berkata, dalam mesyuarat penyelarasan berhubung kejadian kemalangan bas persiaran di Genting Highlands yang dipengerusikannya, beliau mencadangkan pihak berkaitan mengkaji untuk menambah kemudahan pengurang kelajuan seperti bonggol jalan atau langkah penenang lalu lintas yang berkesan di laluan berisiko tinggi.
Katanya, cadangan diberikan termasuklah menambah bonggol jalan khususnya di laluan menurun Genting Highlands.
“Ia hasil maklum balas pengguna jalan raya mengenai risiko kawasan tersebut. Perhatian khusus perlu diberikan di kawasan kritikal pada laluan keluar masuk utama Genting Highlands bagi mengurangkan kelajuan kenderaan dan mengurangkan risiko kemalangan,” katanya.
Beliau turut mendedahkan bahawa JPJ sebelum ini pernah mencadangkan pemasangan kemudahan perangkap laju di laluan tersebut bagi meningkatkan penguatkuasaan dan pemantauan risiko.
Bagaimanapun, katanya, cadangan itu masih belum mendapat kelulusan memandangkan laluan tersebut merupakan jalan persendirian.
“Buat masa ini, laluan tersebut hanya dilengkapi dengan beberapa sistem kamera litar tertutup (CCTV).
“Oleh itu, terdapat keperluan mendesak untuk menyemak semula dan menyegerakan pelaksanaan lebih banyak langkah pemantauan berteknologi bagi meningkatkan tahap pengurusan keselamatan jalan raya,” katanya. – UTUSAN










