PETALING JAYA: Pemuda UMNO meminta Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mempertimbangkan pemecatan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing.
Ia susulan penganjuran festival muzik berkonsepkan air yang didakwa bercanggah dengan langkah penjimatan kerajaan susulan krisis ekonomi global.
Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh berkata, keputusan meneruskan program tersebut menimbulkan persoalan memandangkan kerajaan sebelum ini membatalkan penganjuran rumah terbuka atas alasan berjimat cermat.
“Sedangkan kerajaan sibuk berusaha buat pembenihan awan untuk menambah kapasiti air, tetapi Kementerian Pelancongan sibuk buat pesta air yang membazirkan air.
“Pesta air ini adalah cadangan yang paling bodoh pernah diberikan. Buang sahajalah Menteri Pelancongan ni wahai PMX,” katanya menerusi hantaran Facebook, hari ini.
Beliau turut mempersoalkan pendirian Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) serta pandangan Mufti Wilayah Persekutuan berhubung penganjuran pesta air tersebut.
“Saya nak tanya juga kepada Menteri Agama, apakah pendirian beliau dan Mufti Wilayah tentang pesta air ini.
“Membatalkan semua rumah terbuka anjuran atas alasan dasar penjimatan, kami boleh terima walaupun tujuan rumah terbuka itu boleh menjamu rakyat makan dan memberi rezeki pada vendor-vendor makanan yang lain.
“Tetapi persoalan saya, kenapa pesta air ini tidak dibatalkan sekali? Adakah langkah penjimatan yang dicadangkan oleh kerajaan tidak terpakai untuk pesta air ini? Adakah pesta air ini tidak membazirkan air?,” soalnya. – UTUSAN










