BETONG (THAILAND): Seorang wanita warga Malaysia sempat ‘menenangkan diri’ dengan mengurut selepas melarikan wang tunai lebih 30,000 baht (RM3,900) sebelum dicekup di sini, petang kelmarin.
Wanita berusia 55 tahun itu dicekup polis pada pukul 2 petang selepas melarikan wang tunai lebih 30,000 baht dari sebuah kedai menjual beg.
Pegawai Penyiasat Polis Daerah Betong, Leftenan Kolonel Phonchai Chuwanon berkata, pihaknya mengambil masa dua jam selepas kejadian untuk mengesan keberadaan suspek sebelum menangkapnya.
Katanya, polis menerima laporan kira-kira pukul 12 tengah hari daripada seorang peniaga tempatan, Yukjen Saejen, 74, berhubung kehilangan wang tunai yang disimpan dalambeg tangan di sebuah kedai di Terowong Piyamit, Mukim Tanae Marae, di sini.
“Berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV), kejadian berlaku ketika pelancong dan penduduk tempatan membeli-belah di situ. Kawasan itu adalah destinasi bersejarah yang menjadi tumpuan.
“Suspek berusia 55 tahun dilihat memasuki kedai berkenaan dan mengambil beg tangan yang berisi lebih 30,000 baht sebelum menghilangkan diri. Bagaimanapun, siasatan melalui rangkaian CCTV yang dipasang di sekitar kawasan berkenaan mendapati suspek membuang beg tangan itu di bawah pokok kira-kira 50 meter dari kedai itu,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.
Phonchai berkata, pihaknya berkordinasi dengan Imigresen Betong bagi menghalang suspek melarikan diri pulang ke Malaysia.
Katanya, melalui rakaman CCTV, polis mengesan suspek sebelum menahannya di dalam sebuah kedai urut kira-kira pukul 2 petang dan merampas lebih 38,000 baht mata wang Thailand dan Malaysia.-UTUSAN










