PETALING JAYA: Tindakan tegas dikenakan terhadap pihak pengurusan institusi pendidikan Majlis Amanah Rakyat (Mara) termasuk Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) jika menyembunyikan kes buli dalam kalangan pelajar.
Pengerusi Mara, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, sudah menjadi kesalahan jenayah sekiranya terdapat mana-mana pihak menyembunyikan kes buli.
Katanya, tiada kompromi dalam kes buli dengan mana-mana terlibat dikenakan tindakan tegas meskipun membabitkan anak golongan berpengaruh dan berkedudukan tinggi.
“Waktu awal-awal dulu bila saya diberikan amanah sebagai Pengerusi Mara, banyak aduan dan maklumbalas saya terima daripada ibu bapa dan pelajar-pelajar kecenderungan bahawa institusi pendidikan Mara tidak mahu menghebahkan kes buli kerana kononnya nak jaga reputasi dan imej serta takut terjejas mendapat anugerah kecemerlangan.
“Saya telah memberikan isyarat dan pengarahan yang jelas bahawa jika saya sendiri peroleh maklumat ini, pasti akan saya ambil tindakan tegas kepada pihak pengurusan IPMA termasuk MRSM.
“Bahkan saya sudah menegaskan berkali-kali kepada pelajar-pelajar bahawa saya tiada kompromi bab buli walaupun nampak saya banyak bertimbang rasa dalam hal-hal lain termasuk mengambil berat hal kebajikan guru, pelajar dan staf,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Asyraf Wajdi berkata, selaras prinsip ‘You Touch You Go’ (anda sentuh, anda pergi), perkara ini terpakai kepada mana-mana pihak.
“Jika terlibat dengan buli usah merayu dengan saya apabila tindakan diambil. Hatta anak orang berpengaruh mahupun ternama sekalipun, mereka tahu pendirian tegas saya ini.
“Usaha untuk memutuskan rantaian buli yang semacam dijadikan tradisi di sesetengah tempat hanya boleh dilakukan dengan berkesan jika tindakan tegas diambil dan mendapat dokongan serius semua pihak,” katanya.-UTUSAN










