KUALA LUMPUR: Tiga pakar dari Institut Perubatan Forensik Negara (IPFN) menjalankan autopsi ke atas jenazah pegawai kadet Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) Allahyarham Syamsul Haris Shamsudin, 22, hari ini.
Tinjauan wartawan di IPFN Hospital Kuala Lumpur (HKL) mendapati ahli keluarga dan ibu Allahyarham tiba di lokasi kira-kira pukul 8 pagi.
Peguam keluarga, Datuk Naran Singh Ara Singh berkata, proses bedah siasat bermula kira-kira pukul 9 pagi yang diketuai oleh pakar patologi HKL, Dr. Siew Sheue Feng serta dibantu pakar lain selain kehadiran Datuk Seri Dr. Bhupinder Singh sebagai wakil ahli keluarga Syamsul Haris.
“Selepas bedah siasat selesai, apa-apa (penemuan) akan kita maklumkan dan jenazah dijangka dikebumikan semula petang atau malam ini.
“Kita jangka proses bedah siasat ini akan ambil masa lama untuk lihat kecederaan-kecederaan pada badannya (Syamsul Haris),” katanya ketika ditemui pemberita di pekarangan IPFN di sini hari ini.
Semalam, jenazah Syamsul Haris selesai digali semula dan dibawa ke IPFN bagi proses bedah siasat kedua semalam.
Naran dilapor berkata, proses penggalian kubur dijalankan empat penggali kubur bermula pukul 8.45 pagi dengan jasad dibawa keluar kira-kira 9.22 pagi semalam.
Pada 19 Ogos lalu, Ibu Syamsul Haris, Ummu Haiman Bee Daulatgun, 45, mengemukakan permohonan menggali semula kubur bagi membolehkan bedah siasat kali kedua dijalankan serta mencadangkan untuk memulakan prosiding inkues bagi menyiasat kematian anaknya.
Syamsul Haris dilaporkan meninggal dunia pada 28 Julai lalu di Hospital Kota Tinggi, Johor, ketika menjalani latihan di Lapang Sasar Imunisasi Tempur, Pusat Latihan Tempur Tentera Darat (PULADA) di Ulu Tiram, Johor dan dikebumikan pada 29 Julai di Tanah Perkuburan Islam Kampung Rinching Hulu.-UTUSAN










