Suami dipenjara dua tahun pukul isteri doakan dapat kerja

Suami dipenjara dua tahun pukul isteri doakan dapat kerja

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Gara-gara memukul isteri yang mendoakannya untuk mendapat pekerjaan, seorang lelaki dijatuhi hukuman penjara di Mahkamah Majistret di sini hari ini.

Mahkamah memerintahkan tertuduh, Mohd. Khairol Mohd. Abu, 40, menjalani hukuman itu bermula dari tarikh tangkap selepas mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret Nurul Saqinah Rosli.

Mengikut pertuduhan, tertuduh dengan sengaja telah menyebabkan cedera ke atas isterinya di sebuah rumah di Kampung Katub, Lenggeng, Nilai di sini kira-kira pukul 1 tengah hari, 6 Jun lalu. 

Sehubungan itu, tertuduh telah melakukan suatu kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 326A Kanun Keseksaan.

Jika sabit kesalahan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan boleh dipenjara selama tempoh sehingga setahun, atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya.

Mengikut Seksyen 326A Kanun Keseksaan boleh dipenjara sehingga dua kali ganda tempoh maksimum bagi sabitan kesalahan mengikut seksyen.

Peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), K.Kogilawani yang mewakili tertuduh memohon mahkamah menjatuhkan hukuman penjara yang minimum kerana tertuduh bekerja kampung dan menyara lima anak dengan seorang daripadanya orang kelainan upaya (OKU). 

Berdasarkan fakta kes, pengadu iaitu isteri tertuduh dipukul suami ketika suspek memberitahu mahu mencari kerja dan dia mendoakan supaya suspek mendapat kerja. 

Secara tiba-tiba, suspek memukul isterinya di bahagian muka, menendang pada perut dan menumbuk bahagian badan sehingga menyebabkan mangsa mengalami lebam pada mata kanan, paha kiri dan betis kanan.

Kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Nik Nur ‘Aqilah Syarfa Nik Zaidi. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN