Pemandu lori didakwa pukul isteri guna botol deodoran

Pemandu lori didakwa pukul isteri guna botol deodoran

AHMAD Tajul Kushri Ahmad Tajul Ariffin (dua dari kiri) dihadapkan ke Mahkamah Majistret, Batu Pahat, Johor atas pertuduhan menampar dan memukul isterinya menggunakan botol deodoran.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BATU PAHAT: Seorang pemandu lori mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan mencederakan isterinya di sebuah rumah di Peserai, Jumaat lalu.

Tertuduh, Ahmad Tajul Kushri Ahmad Tajul Ariffin, 48, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Arun Noval Dass.

Berdasarkan kertas pertuduhan, bapa kepada tiga anak itu didakwa menampar muka dan memukul isterinya yang berusia 44 tahun dengan menggunakan botol deodoran di kediaman mereka pada pukul 5 petang, 6 Mac 2026.

Difahamkan, tertuduh bertindak sedemikian selepas berlaku pertelingkahan yang mana mangsa menuduh suaminya tidak menjaga anak sehingga menyebabkan banyak barangan rumah rosak, termasuk pengecas telefon bimbit.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 326A kanun sama.

Seksyen 323 memperuntukkan hukuman penjara setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya manakala Seksyen 326A memperuntukkan penjara dua kali ganda tempoh maksimum yang dikenakan atas sabitan kesalahan mengikut Seksyen 323, jika sabit kesalahan.

Mahkamah membenarkan ikat jamin RM2,500 berserta syarat perlu melapor diri di balai polis berhampiran tiga minggu sekali. Sebutan semula kes ditetapkan pada 5 Mei ini untuk serahan dokumen dan lantikan peguam.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Firdaus Ruslan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN