BALIK PULAU: Mahkamah Majistret di sini hari ini menetapkan 18 Ogos depan sebagai tarikh perbicaraan kes membabitkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Jerejak, Fahmi Zainol yang didakwa dengan sengaja mencederakan isterinya.
Majistret Chia Huey Ting turut menetapkan 14 Mei sebagai tarikh serahan dokumen termasuk laporan perubatan berkaitan kes berkenaan.
Fahmi yang juga bekas Pengerusi Jawatankuasa Agroteknologi, Keterjaminan Makanan dan Pembangunan Koperasi negeri tiba di Kompleks Mahkamah Balik Pulau dengan ditemani oleh isterinya kira-kira pukul 8.50 pagi.
Ketika prosiding, peguam yang mewakili Fahmi, Dr. Shamsher Singh Thind berkata, penangguhan kes selama dua bulan sebelum ini telah menyebabkan kelewatan yang tidak wajar dan jika ditangguhkan lagi untuk tempoh dua bulan hanya bagi sebutan, ia akan menyebabkan kes terus berlarutan tanpa keperluan.
Menurut Shamsher, pengadu juga telah membuat dua laporan polis iaitu sebelum dan selepas kejadian selain terdapat usaha untuk menarik balik laporan berkenaan sebelum ini.
“Jadi, perlu diingatkan bahawa pengadu merupakan saksi utama pendakwaan. Isu penarikan balik laporan perlu diberi perhatian,” katanya.
Beliau turut memaklumkan kes berkenaan melibatkan konflik rumah tangga dan berpendapat penyelesaian lebih cepat di mahkamah mampu membantu kedua-dua pihak memperbaiki hubungan.
Sehubungan itu, beliau memohon mahkamah supaya menetapkan tarikh dalam masa yang terdekat memandangkan kes tersebut tidak melibatkan perkara berat atau memerlukan campur tangan pihak atasan.
Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Ikmal Affendi Zulkifly memaklumkan laporan perubatan berhubung kes itu dijangka diperoleh dalam minggu ini juga.
Mahkamah kemudian menetapkan 14 Mei sebagai tarikh serahan dokumen termasuk laporan perubatan, manakala 18 Ogos ditetapkan untuk perbicaraan dengan pihak pendakwaan diarahkan mengemukakan dokumen sedia ada terlebih dahulu.
Pada 27 Februari lalu, Fahmi mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini atas pertuduhan dengan sengaja mencederakan isterinya, Nur Hidayah Abd. Jabar, 35, kira-kira pukul 10 malam, 22 Februari lalu, di sebuah rumah di Persiaran Pantai Jerejak 11, Bayan Lepas, Pulau Pinang.
Pendakwaan terhadapnya dibuat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 326A Kanun Keseksaan.
Mahkamah ketika itu, kemudian menetapkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM2,000 dengan seorang penjamin. – UTUSAN










