Kes ADUN pukul isteri: Peguam mohon pertuduhan digugurkan

Kes ADUN pukul isteri: Peguam mohon pertuduhan digugurkan

FAHMI ZAINOL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BALIK PULAU: Satu representasi baharu akan dikemukakan peguam kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Jerejak, Fahmi Zainol bagi memohon pertuduhan menyebabkan kecederaan terhadap isterinya digugurkan.

Peguamnya, Dr. Shamsher Singh Thind berkata, pihaknya baru menerima dokumen lengkap daripada pihak pendakwaan dan akan meneliti semua bahan berkaitan sebelum representasi dikemukakan.

Menurutnya, perkara itu dimaklumkan kepada mahkamah selain memohon satu tarikh ditetapkan bagi keputusan representasi berkenaan.

“Bagaimanapun, mahkamah mengekalkan tarikh perbicaraan yang telah ditetapkan sebelum ini iaitu pada 18 Ogos depan. Sekiranya representasi diterima, kami akan memohon tarikh lebih awal untuk pelupusan kes,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Terdahulu, Fahmi tiba di Mahkamah Majistret kira-kira pukul 9 pagi tadi dengan ditemani peguamnya.

Pada prosiding 28 April lalu, Majistret Chia Huey Ting menetapkan 18 Ogos depan sebagai tarikh perbicaraan selain hari ini bagi penyerahan dokumen termasuk laporan perubatan.

Sebelum ini, Shamsher dilaporkan meminta kes itu diteruskan tanpa sebarang kelewatan lanjut selepas penangguhan selama dua bulan diberikan.

Beliau turut memaklumkan pengadu telah membuat dua laporan polis sebelum dan selepas kejadian selain mendakwa terdapat cubaan menarik balik laporan tersebut.

Pada 27 Februari lalu, Fahmi didakwa di mahkamah sama atas pertuduhan dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap isterinya, Nur Hidayah Abd. Jabar, 35.

Kesalahan itu didakwa dilakukan kira-kira pukul 10 malam, 22 Februari lalu di sebuah rumah di Persiaran Pantai Jerejak 11, Bayan Lepas.

Bagaimanapun, Fahmi mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 326A akta sama. Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM2,000 dengan seorang penjamin. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN