Polis sahkan lelaki pukul isteri pelaku sama kes Jahidah

Polis sahkan lelaki pukul isteri pelaku sama kes Jahidah

HANYAN RAMLAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI PETANI: Lelaki yang dipercayai bertindak ganas mencederakan isterinya termasuk kandungan berusia 12 minggu yang gugur disahkan pelaku sama terhadap kes melibatkan Jahidah Nordin, 48, lima tahun lalu.

Suspek, Rosmaini Abd. Raof, 43, kini menghilangkan diri sebaik kejadian terbaharu yang berlaku di Ambangan Heights, di sini pada Khamis lalu.

Lelaki terbabit sebelum ini disabitkan kesalahan mencederakan Jahidah yang terlantar koma sehingga kini, namun hukuman penjara selama 10 tahun terhadapnya ditangguhkan sementara menanti proses rayuan.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hanyan Ramlan berkata, identiti suspek sudah dikenal pasti dan usaha memburunya kini giat dijalankan pihaknya.

“Berdasarkan laporan polis yang dibuat abang mangsa dan siasatan terhadap dokumen pernikahan pasangan itu, kita mengakui suspek adalah individu yang sama. Kita telah mengenal pasti lokasi persembunyiannya dan dalam proses menangkapnya,” katanya kepada pemberita, hari ini.

Hanyan berkata, pihaknya juga kini sedang menunggu mangsa yang masih trauma dan sedang mendapatkan rawatan kembali stabil sebelum dirakam keterangan berkaitan kes itu.

“Sehingga kini kita belum lagi berkesempatan menemubual mangsa kerana dia masih trauma dengan kejadian itu. Namun, berdasarkan pengakuan awal mangsa, suspek adalah orang sama yang terlibat dalam keganasan rumah tangga di Johor sebelum ini,” katanya.

Ujar Hanyan, kes terbabit telah diklasifikasikan semula di bawah Seksyen 325 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan parah.

Dalam kejadian itu, mangsa berusia 39 tahun yang juga kakitangan sebuah hospital kini dirawat di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) ekoran keguguran selain cedera di badan dan muka.

Mangsa dipercayai dipukul dengan penyangkut baju, getah paip, batang besi langsir dan penyapu selepas mereka dipercayai bertengkar berkaitan hal rumah tangga.

Mereka berkahwin di negara jiran pada Disember lalu, namun difahamkan belum mendaftar perkahwinan secara rasmi, di sini. Lelaki itu dipercayai turut melarikan barangan kemas dan wang simpanan berjumlah RM50,000 selepas kejadian itu.

Pada 4 November tahun lalu, Mahkamah Tinggi Johor Bahru mengekalkan hukuman penjara 10 tahun ke atas Rosmaini yang bekerja sebagai peniaga kerana menyebabkan kecederaan parah terhadap Jahidah sehingga koma.

Hakim Atan Mustaffa Yusoff Ahmad menolak rayuan yang difailkan Rosmaini dan mengekal keputusan Mahkamah Sesyen pada 9 Disember 2024.

Peguam Muhammad Nor Tamrin yang mewakili Rosmaini memohon perintah penangguhan pelaksanaan hukuman penjara sementara pihaknya memfailkan notis rayuan ke Mahkamah Rayuan dan ia dibenarkan mahkamah. Tertuduh sempat dipenjarakan 79 hari.

Bagaimanapun, mahkamah meningkatkan jumlah jaminan daripada RM15,000 kepada RM25,000 serta dua syarat jaminan sebelum ini dikekalkan iaitu melapor diri di balai polis sebulan sekali dan dilarang mengganggu mangsa serta saksi pendakwaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN