Setahun bumbung diterbangkan ribut, dapur kini jadi bilik tidur

Setahun bumbung diterbangkan ribut, dapur kini jadi bilik tidur

MAIMUNAH Mustafa di hadapan rumahnya yang tiada bumbung akibat diterbangkan ribut pada kejadian September tahun lalu di Kampung Telok Amboi, Kota Kuala Muda di Sungai Petani.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI PETANI: “Kalau ada bantuan saya bersyukur, kalau tiada pun saya reda. Duduk sajalah dalam keadaan begini.”

Itu luahan pilu warga emas, Mai­munah Mustafa, 74, dari Kampung Telok Amboi, Kota Kuala Muda yang masih tinggal di rumah daif selepas bumbung kediamannya rosak teruk akibat ribut pada 18 September tahun lalu.

Akibat kejadian itu, hampir keseluruhan bumbung rumah­nya diterbangkan angin menyebabkan dia kehilangan tempat berteduh dan hanya mampu membaiki bahagian dapur sahaja menggunakan kayu serta zink terpakai.

“Saya baiki setakat mana yang mampu, itu pun guna duit sumbangan Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), Jabatan Perdana Menteri dan sumbangan orang ramai.

Dapatlah kumpul RM1,000, cukup untuk tampung sedikit bahagian dapur.

“Sekarang ini dapur sajalah tempat saya memasak, makan dan tidur. Nak baiki semua, kosnya lebih RM20,000, mana saya nak cari duit sebanyak itu,” katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui semalam.

Lebih menyedihkan, setiap kali hujan, air tempias masuk ke dalam rumah dan membasahi tempat tidurnya dan dia hanya mampu menahan dengan kepingan zink agar ruang dapur tidak terlalu basah.

Maimunah yang menghidap penyakit darah tinggi berkata, selepas kejadian ribut itu, dia menumpang di rumah adiknya yang terletak tidak jauh dari situ selama lima bulan kerana adiknya berada di Johor pada waktu itu.

“Tapi bila dia balik Januari lalu, saya tak sampai hati nak menyusahkan dia, jadi saya balik semula duduk rumah ini walaupun dalam keadaan macam ini,” katanya.

Maimunah hanya menerima bantuan zakat RM300 sebulan untuk belanja makan dan membayar bil air dan elektrik.

Suaminya meninggal dunia 15 tahun lalu dan kelima-lima anaknya kini berkeluarga, namun masing-masing hidup sekadar cukup-cukup makan dan tiada pekerjaan tetap.

Orang ramai yang ingin membantu boleh menyalurkan sumbangan ke akaun BSN 0212429000145555 atas nama Maimunah Mustafa atau hadir sendiri ke rumahnya di Kampung Telok Amboi, Kota Kuala Muda. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN