Segamat dilanda gempa kali ketiga, 3.2 magnitud

Segamat dilanda gempa kali ketiga, 3.2 magnitud

Gegaran kecil yang berlaku di daerah Segamat dipercayai berpunca daripada kewujudan sesar baharu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEGAMAT: Satu lagi gegaran gempa bumi lemah berukuran 3.2 magnitud direkodkan pada pukul 8.59 pagi semalam di daerah ini, menjadikan ia kejadian ketiga
sejak Ahad lalu.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dalam satu kenyataan memaklumkan, gegaran berpusat kira-kira 18 kilometer (km) selatan Segamat pada kedalaman 10 km.

“Gegaran dirasai di beberapa kawasan Johor dan selatan Pahang. MetMalaysia akan terus memantau perkembangan ini,” katanya.

Pada Ahad lalu, daerah ini digegarkan gempa bumi berukuran 4.1 magnitud pada 6.13 pagi, disusuli satu lagi gegaran 2.9 magnitud kira-kira tiga jam kemu
dian.

Selain itu, satu lagi gegaran berukuran 2.8 magnitud turut direkodkan di Yong Peng pada hari sama.

Bagaimanapun, MetMalaysia menegaskan gegaran yang berlaku setakat ini adalah lemah dan tidak menimbulkan ancaman serius, namun orang ramai di minta sentiasa berwaspada.

Orang ramai juga diingatkan mendapatkan maklumat sahih mengenai cuaca dan gempa bumi melalui laman web rasmi, aplikasi mudah alih MyCuaca, media sosial jabatan itu atau menghubungi talian Hotline 1300-22-1638 untuk pertanyaan lanjut.

Sementara itu, tinjauan Utusan Malaysia di sekitar Pasar Awam di sini, mendapati feno­mena gempa bumi lemah me­landa di sebahagian kawasan perumahan hari ini tidak jejaskan kehadiran pelanggan di Pasar Awam, Segamat.

Menurut peniaga sayur-sa­yuran kampung, Sufian Hisham, 49, gerai miliknya masih dikunjungi orang ramai yang terdiri daripada peniaga kedai makanan dan orang awam.

“Alhamdulillah pelanggan datang seperti biasa membeli sayur dan perniagaan saya tidak terjejas akibat gempa bumi pagi tadi.

“Walaupun pagi tadi berlaku lagi gegaran ketiga, namun jumlah kedatangan pelanggan tetap tidak menurun dan tiada sa­yuran yang tidak terjual.

“Tiada sayuran yang rosak dan tidak terjual akibat gempa bumi tadi. Begitu juga dengan barang niaga yang lain seperti cencalok dan telur masin yang tetap laris dijual.

“Pagi tadi semasa kejadian gempa bumi itu, saya sedang melayani pelanggan kira-kira pukul 9 pagi sebelum dimaklumkan rakan saya berlaku lagi gegaran ketiga hari

ini,” katanya yang ditemui di Pasar Awam Segamat hari ini.

Sufian yang telah lebih 10 tahun berniaga sayuran di pasar awam berkenaan berkata, bekalan sayuran dan barangan lain­nya turut masih mudah diperolehi meskipun bandar itu digemparkan dengan kejadian bencana alam. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN