SEGAMAT: Cabaran dan dugaan kepada para peniaga makanan pada Ramadan tahun ini amat getir apabila kebanyakan makanan dan minuman tidak habis dijual.
Seorang peniaga yang hanya mahu dikenali sebagai Nur Furqan berkata, Ramadan kali ini amat menyedihkan apabila banyak makanan tidak habis dijual menjelang pukul 7 petang.
“Ramadan tahun ini ramai peniaga ‘termenung’. Pukul 6.45 petang barang niaga banyak lagi di atas meja walaupun menunjukkan waktu berbuka semakin hampir. Semoga dipermudahkan segala urusan para peniaga sehingga selesai Ramadan,” kongsinya dalam laman sosial Segamat Johor.
Perkongsian itu menerima respons melebihi 300 pengguna dengan pelbagai reaksi daripada peniaga serta pengunjung bazar Ramadan.
Seorang pengunjung bazar Ramadan, Mohd. Azhar memberikan cadangan supaya peniaga mengikut cara orang dahulu berniaga dengan mencampur pelbagai jenis kuih di dalam satu bekas.
“Cuba buat stail lama, kuih boleh campur-campur. Zaman sekarang jual sejenis dah siap bungkus dengan harga tetap.
“Orang berkira-kira macam terpaksa pula membeli satu bekas padahal nak makannya sebiji dua sahaja. Hendak makan dua jenis kuih terpaksa beli dua bekas, memang fikir dua kalilah,” katanya.
Seorang lagi pembeli, Hazwan Rahmat pula menyifatkan harga makanan di daerah ini agak mahal berbanding di bandar-bandar besar.
“Sebagai contoh martabak berharga RM7 hingga RM12 di Segamat. Hujung minggu saya balik ke Kuala Lumpur harga martabak hanya RM5 hingga RM10 sahaja, itu pun boleh dapat martabak Singapore lagi,” kongsinya.










