PETALING JAYA: Kegiatan sindiket perlombongan bitcoin menjadikan sebuah rumah di Setiawan, Perak bagi menjalankan aktiviti haram itu terbongkar selepas diserbu polis awal pagi tadi.
Dalam serbuan kira-kira pukul 4.30 pagi itu, pelbagai barangan turut dirampas yang dianggarkan bernilai RM54,500.
Komander Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Satu, Asisten Komisioner Rusley Chi Ari berkata, operasi dijalankan Unit Risik Marin bersama Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung dan pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB) Seri Manjung.
Menurutnya, pemeriksaan mendapati tiada individu keluar masuk kediaman itu namun anggota juruteknik TNB yang memeriksa mendapati terdapat penyambungan salah di rumah itu.
“Pasukan serbuan kemudian masuk ke dalam rumah dan menemui sembilan eset unit mining bitcoin, router, modem, kad sim dan kotak mengandungi pelbagai jenis wayar.
“Semua barangan dirampas bernilai RM54,500 dibawa ke IPD Manjung untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 448 Kanun Keseksaan dan Seksyen 37 (3) Akta Bekalan Elektrik 1990.- UTUSAN










