Polis Sepang rampas 143 buah mesin lombong bitcoin, empat penjaga premis ditahan

Polis Sepang rampas 143 buah mesin lombong bitcoin, empat penjaga premis ditahan

NORHIZAM Bahaman (dua kiri) menunjukkan barang rampasan pada sidang akhbar kejayaan IPD Sepang menumpaskan sindiket mesin perlombongan bitcoin di IPD Sepang, - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG: Sebanyak 143 buah mesin perlombongan bitcoin bernilai lebih RM171,600 berjaya dirampas dalam lima serbuan di daerah ini pada Jumaat lalu.

Lebih unik, risikan ke atas sindiket itu dimulakan sendiri oleh Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Norhizam Bahaman sejak beberapa bulan lalu selain aduan oleh orang awam.

Norhizam yang ditemui pada sidang akhbar hari ini berkata, serbuan pada Jumaat lalu di Bandar Baharu Salak Tinggi dan Putra Perdana itu turut menahan empat lelaki yang bertindak penjaga premis berusia antara 20 hingga 40 tahun.

“Operasi serentak bermula pukul 10 pagi hingga 7 petang itu turut dibantu pasukan khas Tenaga Nasional Bhd (TNB) dari Ibu Pejabat TNB, Bangsar, Kuala Lumpur.

“Siasatan awal mendapati, setiap premis mampu menjana keuntungan sekitar RM15,000 hingga RM20,000 sebulan menerusi perlombongan bitcoin haram itu.

“Malah, kami dimaklumkan bahawa sindiket telah mencuri bekalan elektrik bagi menjalankan perlombongan itu dengan kerugian kepada TNB mencecah RM86,089.10 sebulan,” katanya.

Katanya, secara keseluruhan, TNB mengalami kerugian kira-kira RM sebanyak RM516,534.60 bermula Januari hingga bulan ini.

Norhizam berkata, suspek ditahan reman selama tiga hari bermula 14 Jun lalu dan berakhir hari ini bagi membantu siasatan malah, suspek juga akan disambung reman lagi esok.

Menurutnya, kesemua suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan pihaknya telah membuka lima kertas siasatan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan dan 37 (1) Akta Bekalan Elektrik 1990.

“Jika disabitkan kesalahan suspek boleh berdepan dengan hukuman, Seksyen 427 Kanun Keseksaan iaitu penjara selama tempoh yang tidak melebihi dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

“Manakala bagi Seksyen 37 (1) Akta Bekalan Elektrik 1990 pula, denda boleh dikenakan tidak melebihi RM100,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN