Enam maut, Proton X50 bertembung lori tanah

Enam maut, Proton X50 bertembung lori tanah

Dalam kejadian sekitar pukul 3.45 petang itu, kesemua mangsa dipercayai menaiki sebuah kereta jenis Proton X50 yang bertembung dengan lori muatan tanah 10 tan dari arah bertentangan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI PETANI: Enam individu maut manakala seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun cedera parah selepas kereta dinaiki mereka terlibat dalam kemalangan dengan sebuah lori di Kampung Baru, Pinang Tunggal di sini, petang ini.

Dalam kejadian sekitar pukul 3.45 petang itu, kesemua mangsa dipercayai menaiki sebuah kereta jenis Proton X50 yang bertembung dengan lori muatan tanah 10 tan dari arah bertentangan.

Mangsa yang maut dikenali sebagai Ahmad Shafiq Ahmad Shukri, 27; Nora Mhd. Husin, 55; Jamaliah Sannusi, 27; Ahmad Fahim Ahmad Shukri, 21; serta seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun dan bayi berusia kira-kira enam bulan.

Seorang lagi mangsa, Aulia Sofea Ahmad Shafiq, 3, dilaporkan cedera parah dan dikejarkan ke hospital untuk menerima rawatan lanjut.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tikam Batu, Penolong Penguasa Bomba (PPgB) Fauzi Shuaib berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 3.46 petang sebelum mengerahkan anggota ke lokasi kejadian.

“Setibanya di lokasi, pasukan mendapati kemalangan melibatkan sebuah lori muatan tanah dan sebuah Proton X50 yang dipercayai bertembung dari arah bertentangan.

“Hasil pemeriksaan mendapati terdapat tujuh mangsa di dalam Proton X50. Enam daripada mereka disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala seorang kanak-kanak perempuan cedera parah,” katanya di sini, hari ini.

Menurut beliau, pemandu lori tidak mengalami sebarang kecederaan.

Katanya, anggota bomba menggunakan peralatan khas bagi mengeluarkan mangsa yang tersepit di dalam kenderaan sebelum mayat diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

“Operasi turut melibatkan kerja-kerja pembersihan sisa kemalangan dan ketika ini siasatan lanjut masih dijalankan oleh pihak polis,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN