PETALING JAYA: Fasiliti keselamatan bertaraf tinggi yang terdapat di kediaman bertingkat elit seperti kondominium mewah dan pangsapuri perkhidmatan menjadikan ia lokasi ‘kegemaran’ sindiket perlombongan bitcoin.
Sindiket kini mengubah taktik tapak operasi sedemikian bagi mengaburi mata pihak berkuasa dan mengelakkan serbuan.
Pengerusi Persatuan Penyewaan Perumahan Nasional (NHRA), K. Prakash berkata, sistem kawalan keselamatan yang ketat di kondominium seperti keperluan kad akses, pengawal keselamatan dan larangan masuk terhadap pihak luar memberi perlindungan eksklusif kepada penjenayah.
“Sindiket ini sangat licik. Mereka menyewa rumah ber tingkat kononnya untuk didiami tetapi hakikatnya ia diubah suai menjadi makmal pelombongan bitcoin.
“Persekitaran tertutup dieksploitasi sepenuhnya oleh sindiket untuk menjalankan aktiviti haram tanpa dicurigai dan sukar untuk melakukan pemeriksaan mengejut,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Prakash berkata, mesin pelombongan bitcoin ini beroperasi tanpa henti 24 jam sehari menyebabkan lonjakan penggunaan tenaga elektrik yang sangat ekstrem.
“Kos bil elektrik bagi sebuah unit kediaman yang disalah guna boleh mencecah antara RM40,000 hingga RM50,000.
Apabila aktiviti ini mula dihidu atau bil mula menimbun, penyewa (sindiket) akan melarikan diri dan membiarkan pemilik rumah berdepan dengan risiko muflis akibat hutang utiliti,” ujarnya.
Justeru, katanya, pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB) digesa supaya proaktif menggunakan sistem pemantauan data mereka.
“Sekiranya terdapat unit kondominium atau perumahan yang merekodkan penggunaan elektrik jauh melangkaui norma biasa bagi sesebuah kediaman, segera melakukan siasatan.
“Saranan nama pada meter elektrik ditukar kepada nama penyewa adalah satu beban birokrasi yang memenatkan dan tidak praktikal untuk dilaksanakan oleh pemilik rumah setiap kali penyewa bertukar tangan.
“Ejen hartanah tidak seharusnya sekadar memburu komisen pantas sehingga mengabaikan proses semakan latar belakang penyewa terutamanya warganegara asing,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, ejen mesti meneliti kesahihan permit kerja bakal penyewa dan memastikan majikan yang membiayai sewaan tersebut be narbenar wujud.
“Pihak kerajaan juga perlu mewujudkan satu akta dan garis panduan seragam yang menga wal selia industri sewaan secara menyeluruh demi menutup ter us ruang manipulasi oleh pihak yang tidak bertanggungjawab,” tambahnya. – UTUSAN










