KLANG: Dua lelaki termasuk warga asing masing-masing berusia 20 dan 31 tahun ditahan selepas disyaki terlibat dalam aktiviti perlombongan mata wang digital di sebuah gudang dalam kawasan Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ), Pulau Indah, di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Lim Jit Huey berkata, tangkapan dibuat susulan serbuan terhadap premis terbabit kira-kira pukul 9.30 pagi oleh Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan, juruteknik Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan polis bantuan PKFZ.
“Hasil serbuan, polis menangkap seorang lelaki tempatan dan warga asing serta merampas kesemua peralatan yang digunakan untuk aktiviti perlombongan mata wang digital untuk membantu siasatan,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Tambahnya, kertas siasatan dibuka di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan atas kesalahan khianat yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda dan.
Siasatan turut dibuat di bawah Seksyen 37(1) Akta Bekalan Elektrik 1990 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda maksimum RM100,000 atau kedua-duanya.
“Perintah reman dikeluarkan oleh Mahkamah Majistret Klang dan ditahan selama empat hari sehingga 7 Julai ini bagi membantu siasatan.
“Polis juga masih menyiasat sejak bila aktiviti tersebut beroperasi,” ujarnya. – UTUSAN










