TAPAH: Anak kepada Jaslinda Saludin, 49, pendaki wanita yang dijumpai semalam selepas hampir dua minggu hilang ketika mendaki Gunung Batu Putih di sini menyifatkan penemuan ibunya sebagai satu keajaiban.
Anak sulung Jaslinda, Nurin Darwisyah Mohd Faizal, 26, syukur kerana ibunya akhirnya dijumpai selepas hampir dua minggu pencarian dilakukan.
“Alhamdulillah sudah tentu saya seronok, sangat bersyukur kerana doa kami dimakbulkan,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.
Menurutnya, setelah ibunya selamat ditemukan, dia mahu ibunya berehat dan mereka akan kembali ke Kuala Lumpur setelah semua urusan di sini selesai.
“Kalau boleh saya nak ibu berehat dulu, tenang-tenang dulu. Kami nak kembali kepada kehidupan kami seperti yang biasa saya dan keluarga kecil saya. Kami cadang nak balik ke Kuala Lumpur.
“Mengenai mendaki, kami tengok dulu. Kalau ibu masih nak mendaki boleh tapi kena pergi bersama-sama keluarga,” katanya.
Seorang lagi anak Jaslinda, Dhia Damia Mohd Faizal, 21, pula berkata, penemuan ibunya merupakan hari yang sangat menggembirakan selepas 14 hari menunggu berita mengenai pencarian ibu mereka.
Katanya, dia rasa sangat bersyukur apabila ibunya ditemukan dalam keadaan selamat.
“Ini keajaiban Allah yang maha besar, tak ada yang mustahil. Ini berkat doa semua pihak.
“Sepanjang tempoh pencarian, hati saya tak tenang, nak tidur pun susah, hati berat tapi sambil menunggu usaha pencarian, kami percaya kuasa Allah, yakin dengan doa memang tidak pernah putus, dengan kata-kata semangat semua orang dan yakin ibu saya kuat,” katanya.
Sementara itu, suami Jaslinda, Haszman Othman, 61, berkata, dia sangat bersyukur dengan berita isterinya ditemukan dalam keadaan selamat.
Menurutnya, ia merupakan berita yang sangat dinanti-nantikan sejak dua minggu lalu dan akhirnya isterinya berjaya ditemukan.
“Anak-anak amat bersyukur apabila Jaslinda akhirnya ditemukan dengan selamat. Mereka teruja dapat tengok gambar ibu mereka.
“Yang penting kita dapat dia balik dalam keadaan selamat walaupun dia kurang sihat. Ini adakah berkat doa anak-anak dan doa rakyat Malaysia yang bersama Jaslinda, terima kasih rakyat Malaysia,” katanya.
Haszman memberitahu, dia menerima berita mengenai isterinya dijumpai selepas dia serta dia anak Jaslinda iaitu Nurin Darwisyah Mohd Faizal, 26, Dhia Damia Mohd Faizal, 21, menunaikan solat hajat di kaki Gunung Batu Putih petang semalam.
“Ya petang tadi (semalam) saya dan anak-anak ada sembahyang hajat, berdoa supaya Jaslinda balik kepada kami sekeluarga. Allah makbulkan doa kami.
“Mungkin hari ini hari yang terbaik bagi kami, Tuhan makbulkan doa kami, doa anak-anak, doa suami, saudara mara dan netizen. Mungkin juga berkat anak-anak datang ke sini hari ini,” katanya.
Dia berterima kasih kepada pihak yang terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) isterinya termasuk komuniti Orang Asli yang menemukan isterinya.
“Terima kasih kepada polis, bomba, JPAM, badan-badan NGO dan Orang Asli. Kami tak dapat nak membalas mereka,” katanya. – UTUSAN










